DI sebalik aroma ayam ungkep dan jeruk tenggiri yang menyelerakan, tersimpan kisah kebangkitan usahawan B40 dan asnaf yang kini semakin yakin menembusi pasaran lebih besar.
Program hari Terbuka Dapo Rakyat yang diadakan pada 7 Mei lalu di Taman Mutiara Perdana, Batu Pahat menjadi medan buat mereka mengetengahkan inovasi makanan sedia dimakan, hasil bimbingan dan dorongan daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dianjurkan oleh White Space Resources, sebuah syarikat pemula keusahawanan sosial pelajar UTHM, dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC UTHM) serta Payments Network Malaysia (PayNet) melalui PayNet Cambah. Program ini menghimpunkan lebih 60 pengunjung terdiri daripada agensi kerajaan, wakil industri dan komuniti setempat.
Ia menjadi platform untuk menjalin jaringan perniagaan serta menyemarakkan lagi semangat keusahawanan mikro, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan asnaf yang semakin berani tampil ke hadapan.
Menurut Jabatan Perangkaan, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mencatat pertumbuhan 5 peratus pada 2023. Justeru, program sebegini bukan sahaja relevan malah kritikal dalam menyokong pembangunan ekonomi negara daripada akar umbi.
Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Md. Jais Sarday yang hadir sebagai tetamu kehormat menyifatkan inisiatif ini sebagai usaha berimpak tinggi yang mampu membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan lebih baik kepada kumpulan sasar.
Pengasas Dapo Rakyat, Naqibah Azman berkata, dapur pusat itu berfungsi sebagai fasiliti pemprosesan makanan berdaftar, membolehkan usahawan menghasilkan produk secara besar-besaran dengan kawalan kualiti yang konsisten.
Katanya, Dapo Rakyat kini dalam proses mendapatkan pensijilan Halal dan MESTI bagi meningkatkan kebolehpasaran produk ke peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam program tersebut, pelbagai produk menarik diketengahkan seperti ikan pais, ayam ungkep, maruku, sambal kering jeruk tenggiri, bawang goreng serta serunding arnab, semuanya hasil inovasi dan sentuhan usahawan komuniti setempat.
Apa yang lebih membanggakan, Dapo Rakyat turut mengangkat agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam operasinya. Inisiatif ini memberi impak langsung kepada SDG 1 (Tiada kemiskinan) dengan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan asnaf, SDG 8 (Pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi) melalui penyediaan peluang pekerjaan dan SDG 12 (Pengeluaran bertanggungjawab) dengan mengurangkan pembaziran makanan serta memaksimumkan penggunaan sumber tempatan secara mampan.
Melalui konsep ekonomi kitaran, Dapo Rakyat mengoptimumkan bahan mentah daripada komuniti setempat dan pada masa sama, memupuk kesedaran pemprosesan mesra alam.
Kata Naqibah, program ini bukan sahaja membantu usahawan menghasilkan produk berkualiti tetapi juga memupuk amalan pemprosesan yang lestari.
Program Hari Terbuka Dapo Rakyat sekali gus mengukuhkan peranan UTHM sebagai peneraju inovasi sosial dan keusahawanan lestari, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi Universiti Technopreneur Global menjelang 2030.
Dengan sokongan padu pelbagai agensi dan komuniti, Dapo Rakyat bukan sekadar sebuah dapur, ia kini menjadi pemangkin perubahan sosioekonomi, mencetuskan gelombang baharu dalam landskap keusahawanan mikro negara.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk agensi, korporat dan komuniti digalakkan menyokong inisiatif-inisiatif yang menjurus kepada pemerkasaan ekonomi masyarakat berpendapatan rendah. Usaha kolaboratif ini mampu memperluas kesan sosial dan membawa perubahan yang lebih bermakna kepada komuniti di seluruh negara.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SITI SARAH OMAR
Jabatan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










