Isu pelaksanaan ibadah umrah masih belum selesai

Isu pelaksanaan ibadah umrah masih belum selesai

MASALAH jemaah umrah terkandas di lapangan terbang dan gagal berangkat ke Tanah Suci masih lagi berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU-isu pelaksanaan dan pengurusan ibadah umrah nampaknya masih lagi menghadapi masalah tertentu yang sukar diselesaikan.

Paparan masalah jemaah umrah terkandas di lapangan terbang dan gagal berangkat ke Tanah Suci masih lagi berlaku. Luahan kemarahan dan kekecewaan tidak dibendung, apatah lagi jemaah bekerja keras mengumpul wang untuk berumrah.

Apabila disiasat, rupanya tiket penerbangan pun belum ditempah dan syarikat umrah memberi seribu alasan, sedangkan segala persiapan pelaksanaan sepatutnya sudah dibereskan.

Lebih menyedihkan, ada individu atau pihak tertentu, menawarkan pakej umrah yang sangat murah dan mendakwa ada golongan hartawan menaja separuh kos umrah. Rupanya perkara itu tidak berlaku dan individu itu ghaib sama sekali.

Bagi yang sudah berada di Tanah Suci, isu lain pula timbul. Ada syarikat yang menawarkan pakej hotel dekat, tetapi setibanya di sana, hotel berjarak berkilometer. Ada yang bagai terpaksa menjadi gelandangan kerana tiada bilik disediakan dan menumpang di stor atau ruang yang sempit.

Ada yang mengambil pakej termasuk makan minum, tetapi di sana, makanan tidak disediakan atau hanya sarapan pagi disediakan. Apabila diajukan kepada mutawif, mereka pun tiada penyelesaian kepada perkara itu.

Seringkali ayat yang pihak syarikat atau mutawif gunakan ialah, ‘kena reda dan bersyukur kerana dapat berada di Tanah Suci’. Sedangkan butiran pakej yang diiklankan, semuanya molek-molek belaka. Realitinya janji tinggal janji.

Apabila segala masalah itu berlaku, jemaah menjadi kebingungan dan tenggelam punca. Ada yang mengadu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, tetapi penyelesaian aduan, jika ada, memakan masa.

Terdapat jemaah membawa kes itu ke mahkamah.

Pihak sewajarnya perlu lebih peka dengan permasalahan ini dengan lebih banyak perbincangan dengan syarikat pengendali umrah untuk mencari jalan penyelesaian segala masalah yang timbul. Garis panduan yang lebih lengkap perlu diperkenalkan.

Maka bagi yang ingin mengerjakan haji dan umrah, beberapa perkara perlu dipertimbangkan. Pilihlah syarikat yang berwibawa dan mempunyai rekod baik.

Jemaah perlu meneliti betul-betul pakej dan dapatkan maklumat lengkap daripada syarikat. Rujuk mereka yang mahir berumrah sebelum membuat pilihan yang tepat.

Begitu juga dengan pelaksanaan haji dan badal haji. Tindakan sesetengah pihak menawarkan pakej murah, boleh menimbulkan persoalan.

Bayangkan ada pihak di sana mempunyai nama jemaah yang banyak, kemudian mengambil gambar mereka yang didakwa di Padang Arafah, kemudian memaklumkan mereka sudah menyempurnakan ibadah haji.

Maka sewajarnya ketelusan dan kejujuran menjadi amalan syarikat dan individu yang menguruskan ibadah haji dan umrah. Janganlah nama agama dan ibadah digunakan sewenang-wenang bagi mengaut keuntungan lumayan.-UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN