DALAM konteks komuniti desa-tani, perubahan teknologi memberikan cabaran besar dari pelbagai segi. Kajian oleh Kilmanun dan Astuti (2020) mendapati bahawa walaupun teknologi IR 4.0 diterapkan secara meluas, masyarakat desa-tani sering menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri. Pertanian, yang menjadi sumber utama pendapatan komuniti ini, memerlukan adaptasi teknologi untuk meningkatkan produktiviti.
Walau bagaimanapun, faktor seperti akses kepada teknologi moden, tahap pendidikan, dan latihan kemahiran menjadi halangan utama bagi mereka. Kajian Dawayan (2024) menyatakan bahawa tanpa sokongan yang mencukupi, masyarakat desa-tani menghadapi kesukaran dalam menerima dan menggunakan teknologi baharu.
Akses kepada teknologi moden sangat penting untuk memastikan keberkesanan penggunaannya dalam sektor pertanian. Faktor utama yang mempengaruhi ialah ketersediaan infrastruktur, seperti kemudahan internet dan elektrik, tahap kesedaran masyarakat terhadap teknologi baharu, serta sokongan daripada pihak berkuasa. Bantuan teknikal dan insentif dari kerajaan atau pihak swasta diperlukan untuk memastikan masyarakat desa dapat mengakses teknologi moden.
Kekurangan pendidikan dan latihan kemahiran adalah cabaran utama dalam menghadapi IR 4.0. UNESCO (2023) menyatakan bahawa petani di kawasan desa sering menggunakan kaedah tradisional dalam pertanian dan kurang terdedah kepada teknologi moden. Tanpa latihan yang sesuai, mereka sukar untuk memahami dan mengadaptasi teknologi baharu yang boleh meningkatkan hasil pertanian.
Teknologi seperti dron, sensor pintar, atau sistem pengairan automatik memerlukan pelaburan besar, yang sering kali di luar kemampuan petani kecil. Menurut Bridle (2020), kos peralatan dan penyelenggaraan menjadi halangan utama, menyebabkan komuniti ini terus bergantung kepada kaedah tradisional yang kurang efisien.
Selain itu, masalah infrastruktur juga menyukarkan akses kepada teknologi. Kajian dari Lemecha (2023) menegaskan bahawa kawasan pedalaman sering kekurangan kemudahan asas seperti internet dan elektrik. Ini menghalang petani daripada mendapatkan maklumat terkini atau menggunakan teknologi yang memerlukan sambungan internet stabil. Oleh itu, sokongan untuk memperbaiki infrastruktur adalah penting dalam membantu masyarakat desa-tani mengadaptasi teknologi.
Perubahan teknologi juga memberi kesan sosial kepada masyarakat desa. Ramai golongan muda memilih untuk berhijrah ke bandar demi peluang pekerjaan yang lebih baik dalam sektor teknologi dan industri. Kajian Manggat (2018) menyatakan bahawa pembangunan infrastruktur di luar bandar penting untuk menarik minat generasi muda kekal di kawasan tersebut. Namun, migrasi ini sering menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian, seperti yang ditekankan oleh Brinkerhoff (1981). Tanpa tenaga kerja mencukupi, pembangunan sektor pertanian akan terjejas, dan golongan dewasa yang tinggal di kawasan desa mungkin tidak mampu menguruskan teknologi moden secara efektif.
Untuk mengatasi cabaran ini, langkah secara menyeluruh diperlukan. Pelbagai pihak harus memperkukuhkan infrastruktur teknologi di luar bandar, menyediakan latihan kemahiran kepada petani, dan menawarkan sokongan kewangan untuk membolehkan golongan desa-tani menggunakan teknologi moden. Selain itu, pemberdayaan generasi muda untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian juga penting. Rahmawati (2021) menekankan bahawa usaha secara kolektif dapat membantu komuniti desa-tani menerima manfaat IR 4.0 dan meningkatkan taraf hidup mereka. Dengan sokongan yang tepat dan mencukupi, masyarakat desa-tani berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada transformasi moden ini tanpa meninggalkan akar tradisional mereka. – UTUSAN
DANIA ARISSA MUHAMAD ZAHARIN
DR. VELAN KUNJURAMAN
Universiti Kebangsaan Malaysia










