Makassar buka peluang UiTM perluas jaringan penyelidikan

Makassar buka peluang UiTM perluas jaringan penyelidikan

HUBUNGAN akademik antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan institusi di Makassar bukan sekadar satu pencapaian, tetapi peluang besar untuk mencipta sejarah baharu dalam landskap pendidikan tinggi ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYELIDIK universiti awam digesa membina jaringan kerjasama antarabangsa bagi memperluaskan dimensi penyelidikan dan mengukuhkan kedudukan penyelidik negara di peringkat global.

Usaha ini penting bukan sahaja untuk memperkaya wacana penyelidikan, tetapi juga sebagai strategi mempromosi keupayaan penyelidikan dan inovasi negara.

Sebagai permulaan, pensyarah disaran memulakan kerjasama kecil dengan institusi tempatan, sebelum memperluaskan skop kerjasama ke peringkat serantau, terutamanya di rantau ASEAN.

Dalam landskap penyelidikan ASEAN, Makassar muncul sebagai wilayah strategik yang menyimpan potensi besar untuk diterokai. Kedudukan Makassar sebagai hab pendidikan dan penyelidikan Indonesia Timur mendapat perhatian serius Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Melalui lawatan penanda aras baru-baru ini, UiTM berjaya membuka lembaran baharu kerjasama akademik dengan Universitas Hasanuddin (UnHas) dan Universitas Muslim Indonesia (UMI). Pengiktirafan terhadap UiTM oleh universiti-universiti ini mencerminkan kedudukan kukuh institusi ini dalam arena penyelidikan dan pendidikan tinggi serantau.

UnHas, yang terkenal dengan keupayaan dalam sains marin dan pengurusan alam sekitar, menyediakan peluang besar untuk penyelidikan bersama dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber lestari. Kedudukan Makassar yang berhampiran segitiga karang menjadikannya lokasi ideal untuk meneroka penyelesaian lestari terhadap cabaran alam sekitar. Selain itu, UMI pula melalui Pusat Inovasi Pengurusan dan Inkubasi Perniagaan (MIIB) membuka ruang kepada UiTM untuk meneroka inovasi dalam keusahawanan, termasuk pembangunan produk dan teknologi baharu.

Bidang farmasi dan sains kesihatan juga menawarkan potensi besar untuk penyelidikan bersama, memanfaatkan kekuatan penyelidikan pasukan farmasi UMI dan Pusat Kecemerlangan UiTM seperti Atta-ur-Rahman Institute for Natural Products Discovery (AuRInS).

Namun, cabaran untuk merealisasikan potensi ini tidak boleh diabaikan. Penyelidik di universiti awam Malaysia sering menghadapi kekangan dana penyelidikan, terutamanya apabila bergantung kepada geran nasional seperti Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Geran Penyelidikan Translasi (PRGS) yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

Persaingan sengit untuk geran nasional ini sering membataskan pelaksanaan projek penyelidikan berskala besar. Oleh itu, usaha mencari sumber alternatif melalui geran antarabangsa perlu dipertingkatkan. Geran seperti Marie Curie dan Newton Fund, serta inisiatif serantau seperti Cabaran Inovasi Biru ASEAN (ABIC), boleh membuka jalan kepada peluang pembiayaan yang lebih besar. Kerjasama dengan pihak industri dan penyelidikan lain turut dapat diperluas merentas negara ASEAN.

Kerjasama antarabangsa bukan sahaja menawarkan peluang pembiayaan, tetapi juga membuka akses kepada teknologi dan infrastruktur penyelidikan yang lebih maju.

Melalui hubungan dengan institusi seperti UnHas dan UMI, UiTM boleh memperkayakan kualiti penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains sosial serta teknologi maklumat. Di samping itu, kerjasama ini juga memperluaskan peluang mobiliti pelajar dan pensyarah, khususnya dalam memperkukuhkan penyelidikan rentas budaya dan negara.

Makassar, dengan potensinya yang belum diterokai sepenuhnya, merupakan peluang unik untuk UiTM memperluaskan jaringan penyelidikan dan memacu peranannya sebagai peneraju akademik serantau.

Dengan visi menjadi universiti bertaraf dunia tetapi berakar umbi secara tempatan, usaha memperkukuhkan hubungan dengan universiti di Makassar boleh menjadi langkah strategik untuk merealisasikan misi ini.

Melalui kerjasama yang mampan, UiTM bukan sahaja berpeluang meningkatkan visibiliti global, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ilmu yang memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi serantau.

Sebagai universiti awam terbesar di Malaysia, UiTM perlu memanfaatkan pengiktirafan ini dengan menjadikan Makassar sebagai medan strategik untuk meneroka potensi kerjasama penyelidikan baharu. Hubungan akademik antara UiTM dan institusi di Makassar bukan sekadar satu pencapaian, tetapi peluang besar untuk mencipta sejarah baharu dalam landskap pendidikan tinggi ASEAN.-UTUSAN

DR. NURUL FARIHA LOKMAN & MOHD. RAFIZI RAHMAD
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN