Lawatan pembelajaran baik untuk tingkat prestasi sekolah

Lawatan pembelajaran baik untuk tingkat prestasi sekolah

LAWATAN pembelajaran dapat membantu guru memperbaiki kaedah pengajaran, di samping meningkatkan kecekapan dalam menyampaikan isi kandungan kepada pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN pembelajaran merupakan salah satu pendekatan penting yang perlu diamalkan pihak pengurusan dan guru di sekolah. Ia merujuk kepada lawatan sistematik yang dilakukan untuk memantau dan menyokong proses pengajaran serta pembelajaran di bilik darjah.

Amalan ini bukan sahaja bertujuan menilai prestasi guru, tetapi juga untuk mengenal pasti kekuatan serta ruang penambahbaikan dalam sistem pengajaran. Sekiranya dilakukan secara konsisten, lawatan ini dapat menjadi budaya yang memperkasa keberkesanan proses pendidikan di sekolah.

Lawatan ini membantu pihak pengurusan mengenali secara mendalam keadaan sebenar proses pembelajaran di bilik darjah. Lawatan ini memberikan gambaran jelas tentang kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru serta penglibatan pelajar dalam pembelajaran.

Kedua, amalan ini memberi peluang kepada guru untuk mendapatkan maklum balas yang konstruktif. Maklum balas ini penting untuk membantu guru memperbaiki kaedah pengajaran, di samping meningkatkan kecekapan dalam menyampaikan isi kandungan kepada pelajar. Dengan cara ini, lawatan ini menjadi alat refleksi yang berkesan apabila guru menilai kembali pendekatan mereka berdasarkan pemerhatian dan saranan yang diberikan.

Seterusnya, amalan learning walk juga menyumbang kepada peningkatan profesionalisme dalam kalangan guru. Guru yang sentiasa menerima lawatan dan maklum balas akan berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka. Ini secara tidak langsung membentuk sikap proaktif dalam kalangan guru untuk sentiasa menambah baik pendekatan pengajaran mereka agar lebih relevan dan berkesan.

Tambahan pula, ia memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan. Kehadiran pemimpin sekolah di bilik darjah menunjukkan keprihatinan terhadap proses pembelajaran. Hal ini bukan sahaja meningkatkan motivasi pelajar, tetapi juga memberi mesej komitmen pihak sekolah dalam memastikan pendidikan berkualiti tinggi.

Namun, untuk memastikan pendekatan ini berkesan, ia perlu dilakukan secara terancang dan dengan niat untuk membangun, bukan menghukum. Pihak pengurusan perlu memastikan lawatan dilakukan dengan objektif yang jelas dan memberi maklum balas secara profesional. – UTUSAN

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN