Merujuk hantaran kontroversi Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, saya mengecam kenyataan Pas yang menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan polemik politik.
Kenyataan berunsur kiasan yang dimuat naik Ahmad Fadhli menimbulkan pelbagai pertanyaan dalam kalangan masyarakat setelah Istana Negara mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan dengan nasihat Lembaga Pengampunan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Tindakan Pas ini bukan sahaja biadab, malah tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi yang mungkin mencemarkan institusi negara.
Pada masa yang sama, ramai juga tertanya-tanya mengapa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak mengecam tindakan Pas secara tegas, seperti tindakan lumrahnya yang mengkritik pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan secara terburu-buru sebelum ini?
Ketika Pas melampaui batas dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, mengapa Muhamad Akmal tidak mengecam Pas secara tegas? Adakah Muhamad Akmal hanya berani mengkritik pemimpin Kerajaan Perpaduan tetapi lebih berminat untuk mengekalkan hubungan erat dengan Pas?
Dalam hal ini, Pas menunjukkan wajah sebenar mereka yang sanggup mengorbankan keharmonian negara demi kepentingan politik sempit. Rakyat Malaysia berhak dan patut menolak permainan politik seperti ini.
DAPSY menyeru semua pihak agar menghormati asas-asas Perlembagaan dan menghentikan segala kenyataan yang berkemungkinan menjejaskan perpaduan masyarakat serta mencemarkan prinsip keluhuran undang-undang yang menjadi teras negara.-UTUSAN
HO CHI YANG
Setiausaha Publisiti DAPSY Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata










