PERKATAAN ‘perdana’ acap kali digunakan dalam pelbagai program seperti Gotong Royong Perdana, Solat Hajat Perdana dan Sambutan Hari Raya Perdana. Walaupun bertujuan untuk menambah aura istimewa pada acara, hakikatnya penggunaan gelaran ini mengundang persoalan sama ada kualiti penganjuran benar-benar mencapai tahap ‘perdana’? Realitinya, ada program sekadar bersifat biasa tanpa sebarang keunggulan tersendiri.
Ramai kecewa apabila majlis yang dikatakan perdana sekadar bersifat sederhana dan disambut tanpa persiapan rapi. Kekurangan dari segi pengisian atau kelancaran akan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap penganjur, sekali gus memberi gambaran negatif terhadap penggunaan istilah perdana itu sendiri.
Jika meninjau pengalaman di Singapura, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), menunjukkan penjenamaan acara memerlukan komitmen tinggi daripada penganjur dan masyarakat.
Oleh itu, penggunaan istilah ini wajar dirangka semula agar lebih selari dengan mutu sebenar sesuatu acara. Sebagai contoh, kita boleh menggantikan perkataan tersebut dengan ‘utama’, ‘besar’, ‘mega atau sekadar menggunakan nama program itu sendiri tanpa sebarang label tambahan.
Paling utama, penganjur perlu membuktikan kebolehan dalam menganjurkan acara berprestij sebelum memilih gelaran yang tinggi.
Untuk menjayakan sesuatu program ke tahap yang dibanggakan, aspek seperti pemilihan tempat, jadual tersusun, penyertaan orang ramai dan penyediaan kemudahan perlu mendapat perhatian serius. Penanda aras kejayaan juga perlu jelas, sama ada dari segi kepuasan peserta, jumlah kehadiran atau keberkesanan matlamat. Jika semua ini diambil kira, baharulah program itu layak digelar perdana mengikut kualiti yang sepatutnya.
Bagi masyarakat pula, keprihatinan terhadap mutu penganjuran perlu dititikberatkan. Usahasama komuniti, pihak swasta dan jabatan kerajaan amat penting dalam merangka acara yang mampu mencapai objektif besar.
Sokongan yang jitu akan menambah nilai pada setiap aktiviti, menjadikan penganjur lebih bertanggungjawab dan profesional dalam menganjurkan sebarang bentuk program, tanpa perlu bergantung harap kepada gelaran.
Akhirnya, gelaran perdana tidak semestinya terletak pada nama semata-mata, sebaliknya pada kesungguhan dan mutu pelaksanaan. Amatlah penting untuk menilai kembali penggunaan istilah ini agar masyarakat tidak lagi terperdaya dengan gimik. Dengan mencontohi pendekatan negara maju yang menitikberatkan kualiti, kita mampu memastikan setiap acara di Malaysia diiktiraf sebagai perdana dalam erti kata sebenar.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor









