Urus masa dengan baik ketika di institusi pengajian tinggi

Urus masa dengan baik ketika di institusi pengajian tinggi

DI peringkat pengajian tinggi, para mahasiswa akan sering diminta untuk membuat pembentangan, menulis esei, dan berkomunikasi dengan pensyarah serta rakan sekelas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG mahasiswa seharusnya perlu untuk menguruskan masa dengan bijak. Di peringkat pengajian tinggi, jadual pengajaran dan pembelajaran (Pdp) adalah lebih fleksibel berbanding di sekolah menengah.

Namun, dengan kebebasan ini pastinya datang tanggungjawab yang besar jadi buatlah jadual harian yang teratur dan memperuntukkan masa yang cukup untuk belajar, menghadiri kuliah, dan menyelesaikan tugasan yang diberikan. Jangan lupa untuk memasukkan masa rehat dan aktiviti rekreasi dalam jadual kerana pengurusan masa yang baik akan membantu untuk mengelakkan tekanan dan memastikan mahasiswa dapat mengekalkan keseimbangan antara akademik dan kehidupan peribadi.

Kedua, manfaatkan segala sumber dan teknologi yang ada di institut pengajian tinggi.

Perpustakaan, pusat pembelajaran, dan kemudahan teknologi adalah antara sumber yang boleh membantu para mahasiswa dalam pembelajaran. Justeru, jangan ragu untuk meminta bantuan daripada pensyarah atau rakan sekelas jika terdapat kesukaran dalam memahami sesuatu topik.

Selain itu, sertailah kelab atau persatuan yang berkaitan dengan minat, hal ini bukan sahaja akan membantu mahasiswa mengembangkan kemahiran sosial, tetapi juga memberi peluang untuk membina rangkaian yang berguna di masa hadapan.
Seterusnya ialah kembangkan kemahiran komunikasi dan potensi diri.

Di peringkat pengajian tinggi, para mahasiswa akan sering diminta untuk membuat pembentangan, menulis esei, dan berkomunikasi dengan pensyarah serta rakan sekelas. Kemahiran komunikasi yang baik adalah kunci untuk berjaya dalam semua aspek ini. Jadi ambil peluang untuk berlatih bercakap di hadapan orang ramai dan menulis dengan jelas dan teratur.

Jangan takut untuk menyuarakan pendapat anda, tetapi pastikan anda melakukannya dengan cara yang sopan dan berhemah.

Ingatlah bahawa setiap langkah yang anda ambil adalah satu pelajaran yang berharga. Jangan takut untuk mencuba perkara baharu dan belajar daripada kesilapan. – UTUSAN

DR. NAZRA ALIFF NAZRI
Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN