PETALING JAYA: Sebanyak RM70 juta dibelanjakan kerajaan bagi menjayakan penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan lalu.
Bagaimanapun, penganjuran sukan permotoran berprestij itu dilaporkan berjaya menjana impak ekonomi mencecah RM950 juta kepada negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, perbelanjaan dikeluarkan kerajaan itu termasuk melibatkan penyelenggaraan litar dan kos operasi SIC, manakala kos lain ditanggung Bahrain.
Beliau berkata, anggaran kos penganjuran F1 itu di Malaysia adalah sebanyak RM350 juta termasuk yuran hak penganjuran dan persediaan SIC.
“Berdasarkan maklumat daripada Formula One Management (FOM), penganjuran Formula 1 berjaya menjana impak ekonomi hampir RM950 juta kepada negara.
“Ia merangkumi sektor perhotelan, pelancongan, penerbangan antarabangsa, pengangkutan, barangan dan perkhidmatan, makanan dan minuman, operasi litar serta program Litar Rasa Madani,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai jumlah kos sebenar ditanggung kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri Selangor serta agensi kerajaan berkaitan bagi persediaan dan penganjuran Formula 1 Grand Prix (GP) Air Gulf Bahrain di SIC, bulan lalu.
Mohammed Taufiq berkata, maklumat terperinci akan disediakan dalam laporan kajian impak ekonomi yang sedang dijalankan firma perunding dilantik oleh SIC.
“Penganjuran acara itu turut mewujudkan kira-kira 7,300 peluang pekerjaan, merangkumi 6,167 dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan kepada pengunjung, operasi dan infrastruktur perlumbaan (757) serta membabitkan pasukan perlumbaan, penaja dan operasi F1 (376).
“Selain itu, kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa turut membuka peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan sepanjang acara berlangsung,” katanya. – UTUSAN











