Perjuangan nasionalisme yang klise

Perjuangan nasionalisme yang klise

IMEJ politik nasionalisme ini klise dan tidak realistik hingga tidak menyentuh realiti zaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA memilih untuk beralih kepada garis politik nasionalisme dan meninggalkan garis politik sosial demokrasi yang tidak lagi sesuai dengan jiwa dan intelek diri.

Ini semua tentang aliran politik. Contoh, DAP meletakkan kompas politiknya sosialisme demokrasi, yang berteraskan nilai-nilai universal yang dipelopori oleh negara-negara era perang dingin. Ia berbeza dengan nasionalisme yang wujud sebelum era tersebut.

Bercakap mengenai bentuk atau rupa perjuangan para nasionalis ini, saya harus berterus terang sekalipun ia pedih, khususnya kepada rakan-rakan yang berada dalam garis politik nasionalis.

Bentuk gerakan nasionalis ini sejak merdeka hinggalah bulan ini, tiada dinamik, bentuk dan imejnya terpisah dari realiti zaman.

Saya maksudkan, imej atau bentuk gerakan nasionalis ini klise, tipikal, tidak menarik malah imejnya itu mendatangkan fitnah bagi generasi X, Y dan Z.

Kita boleh sahaja mengambil jalan pintas dengan menyalahkan generasi baharu yang ‘tidak faham’ tentang nilai perjuangan atau kita katakan mereka sebagai kumpulan Melayu yang ‘apologetik’ tentang nilai kebangsaan. Bagi saya, ini sikap culas yang tidak seharusnya diteruskan. Berhentilah menyalahkan orang lain.

Kerana itu, di beberapa forum terbuka mahupun tertutup yang saya hadir, tidak kelihatan wajah anak-anak muda menyertai forum dari kumpulan nasionalis ini. Kerana saya yakin, tajuk, panelis dan pakejnya memang tidak menyentuh hidup golongan muda.

Hingga pada satu ketika, bukan sahaja panelis forum yang hadir menyebut tentang ‘kehilangan’ generasi baharu pasca merdeka dalam forum dan wacana mereka, malah peserta yang hadir juga turut bercakap tentang kelesuan wacana tanpa kehadiran generasi muda.

Kerana itu yang saya katakan, imej politik nasionalisme ini klise dan tidak realistik hingga tidak menyentuh realiti zaman.

Persoalan-persoalan yang diajukan seperti ‘nasib Melayu’, ‘perjuangan bangsa’, ‘hak istimewa’, ‘kedaulatan’, ‘bahasa Melayu’ semua ini tidak terzahir dalam wajah baharu, dalam lingo yang baharu dan menarik.

Malah, yang berkata itu juga orang lama, yang mengulas juga cerita-cerita klise, yang menyokongnya juga kawan-kawan sekufu.

Belum lagi lihat imej-imej yang ditampilkan, ia juga klise. Bertengkolok, bersamping, berkeris dan bercapal, yang saya anggap semua itu imej-imej tipikal. Imej-imej ini menggambarkan betapa rigidnya semangat nasionalisme, betapa terpisahnya nasionalis dengan politik sebenar.

Saya tidak mengkritik seni warisan budaya kita yang harus dipelihara tetapi bercakap tentang ‘fesyen’. Politik juga adalah fesyen. Politik bukan replika budaya yang jumud, yang kekal tidak berubah sepanjang zaman.

Tun Dr. Mahathir Mohamad membaca dan belajar tentang kecerdasan buatan (AI), beliau juga belajar tentang internet kebendaan (IoT). Sedangkan jika ikut lojik, apa perlunya Dr. Mahathir yang tiada jawatan untuk belajar semua perkara itu.

Ini semua menunjukkan bahawa politik ini dinamiknya begitu luas dan pantas. Kita perlu berubah dengan segera.

Jalan pertama untuk berubah ialah dengan belajar menolak perbezaan antara kita. – UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM
Bekas pemimpin DAP yang kini pejuang kebangsaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN