Halal: Libatkan pemegang taruh untuk dapat pelbagai pandangan

Halal: Libatkan pemegang taruh untuk dapat pelbagai pandangan

PELAKSANAAN mewajibkan pensijilan halal ini boleh dibuat secara berperingkat seperti mana pendekatan yang diambil Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyambut baik hasrat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini yang tidak menghidangkan menu khinzir dan alkohol untuk memiliki sijil halal

Dari sudut pandang kepentingan maslahah umat Islam, cadangan mewajibkan sijil halal secara langsungnya memberi jaminan kepada capaian sumber makanan halal yang dihidangkan di restoran dan syarikat pengilangan makanan. 

DPIM melihat cadangan ini sebagai satu usaha murni dan secara langsungnya akan dapat meningkatkan bilangan capaian sumber halal yang lebih meluas. Di samping itu juga, ia dilihat dapat meningkatkan bilangan pemegang sijil halal di Malaysia yang mana akan meningkatkan potensi bilangan pemain industri halal yang boleh diketengahkan di peringkat global. 

Namun, melihat kepada komposisi jenis perniagaan di Malaysia yang mana terdapat sekitar 1.1 juta perusahaan berstatus mikro, kecil dan sederhana (PMKS), maka DPIM percaya cadangan ini perlu diperhalusi dengan sebaik-baiknya. Ini kerana, pada hemat kami, rata-rata perniagaan ini  tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pensijilan halal atas pelbagai faktor antaranya keupayaan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk memperoleh sijil halal dan keupayaan kewangan serta keupayaan operasi yang terhad. 

Dalam hal ini, DPIM ingin mencadangkan agar sesi libat urus diadakan bersama pemegah-pemegang taruh industri halal bagi mendapatkan lebih banyak pandangan dan maklum balas yang mana boleh membantu Jakim serta lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengkaji cadangan ini. 

DPIM juga berpandangan pelaksanaan mewajibkan pensijilan halal ini boleh dibuat secara berperingkat seperti mana pendekatan yang diambil  negara jiran, Indonesia yang telah mewajibkan pensijilan halal ke atas semua produk keluaran PMKS mereka bermula Oktober 2024 ini.

DPIM juga berpandangan pentingnya usaha-usaha untuk menaiktaraf tahap perniagaan usahawan khususnya dari status mikro ke kecil dan ke tahap seterusnya dipergiatkan melalui pelbagai program-program yang bersifat komprehensif serta  tidak silo di antara agensi-agensi kerajaan. 

Ini secara langsungnya akan dapat meningkat keupayaan sesebuah perniagaan itu dan seterusnya mampu serta mudah untuk mematuhi aspek-aspek pematuhan pensijilan halal yang ditetapkan. -UTUSAN

DATUK MOHAMMAD SAHAR MAT DIN 

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN