Apa pendekatan SDG dalam kurikulum sekolah?

Apa pendekatan SDG dalam kurikulum sekolah?

SDG relevan bukan hanya dalam pembelajaran di sekolah, tetapi juga sebagai asas untuk pembelajaran sepanjang hayat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa telah mengemukakan cadangan supaya Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) diajar di sekolah seluruh negara.
Usaha ini jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan sasaran SDG 2030 tercapai yang semakin menghampiri tarikh akhirnya.

Integrasi SDG ke dalam kurikulum dan aktiviti sekolah yang sedia ada adalah lebih sesuai daripada menjadikannya sebagai satu mata pelajaran berasingan. Kandungan mata pelajaran seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Sains, Reka Bentuk dan Teknologi, semuanya sudah relevan dengan SDG dan mempunyai potensi besar untuk mengukuhkan kefahaman murid terhadap matlamat ini jika diintegrasikan dengan lebih berkesan.

Terdapat juga beberapa kemahiran lain yang perlu ditekankan dalam pendidikan tentang SDG. Antaranya kemahiran untuk membayangkan dan merancang masa depan.
Kemahiran ini penting untuk memupuk pemikiran jangka panjang dalam kalangan murid, membolehkan mereka merancang strategi yang tidak hanya relevan untuk masa kini tetapi juga untuk masa depan yang lebih jauh.

Pendidikan tentang SDG juga perlu melibatkan murid dalam proses membuat keputusan. Ini penting kerana ia memberi mereka pengalaman langsung dalam menyelesaikan masalah dan membuat pilihan yang akan mempengaruhi masa depan mereka dan masyarakat.
Dengan cara ini, murid bukan sahaja belajar tentang SDG tetapi juga diberi peluang untuk mempraktikkan dan menerapkan prinsip-prinsip tersebut dalam kehidupan sebenar.

Untuk memastikan peralihan yang lancar, pendekatan smooth landing bagi murid dan guru adalah amat diperlukan. Ini termasuklah menyediakan sumber sokongan dan bimbingan yang berterusan serta memperkenalkan perubahan secara berperingkat, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan integrasi SDG dalam pengajaran.

Guru-guru memerlukan sokongan yang mencukupi, termasuk latihan serta penyediaan modul pengajaran untuk setiap mata pelajaran. Pembangunan modul pengajaran pula penting untuk memastikan guru tidak melihat usaha mengintegrasikan SDG sebagai beban tambahan kepada tugas sedia ada.

Murid perlu diyakinkan bahawa SDG relevan bukan hanya dalam pembelajaran di sekolah, tetapi juga sebagai asas untuk pembelajaran sepanjang hayat. Isu-isu dalam SDG, seperti perubahan iklim dan kesaksamaan gender, akan terus berlanjutan, menjadikan prinsip- prinsip ini penting untuk menghadapi cabaran masa depan.

Apabila murid memahami keseriusan isu-isu ini, mereka akan lebih menghayati dan termotivasi untuk belajar dan mencari penyelesaian. Ini boleh dilihat seperti mana kesedaran yang timbul apabila kita didedahkan dengan data dan fakta mengenai isu Palestin, yang mana ramai yang mengambil inisiatif untuk membantu.

Dengan adanya modul sokongan dapat membantu guru melihat SDG sebagai satu peluang untuk memperkaya pengajaran mereka, dan menjadikan pendidikan lebih bermakna.

Secara keseluruhan, cadangan untuk melaksanakan SDG dalam pendidikan adalah baik, tetapi integrasi SDG dalam semua aspek pendidikan adalah strategi yang lebih efektif.

Dengan sokongan dan latihan yang mencukupi kepada guru, kita dapat memastikan bahawa SDG bukan sekadar satu lagi elemen tambahan, tetapi menjadi asas kepada semua yang dipelajari oleh murid, menjadikan mereka agen perubahan yang sebenar untuk masa depan yang lebih lestari. – UTUSAN

DR. SHARIFAH INTAN SHARINA SYED ABDULLAH
Pensyarah Kanan
Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN