Lampu terang-benderang, tapi trek, alamak!

Lampu terang-benderang, tapi trek, alamak!

Keadaan trek yang tidak diselenggara dengan baik boleh mendatangkan kemalangan kepada pengunjung di Taman Tasik Seri Gombak, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA sebagai pengunjung Taman Tasik Seri Gombak sangat teruja menikmati suasana malam di tasik berkenaan sekarang. Sejak pemasangan lampu solar awal Ogos lalu, keadaan tasik yang sebelum ini gelap-gelita bertukar menjadi terang-benderang dan bergemerlapan.
Ia sekali gus mengangkat kedudukan Taman Tasik Seri Gombak ke satu lagi tahap yang boleh dibanggakan, kalaupun belum setaraf taman rekreasi lain di ibu kota namun usaha Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu perlu diberi pujian.

Namun, sesuatu yang menyedihkan malah memalukan adalah keadaan trek yang rosak, berlumut dan licin kerana terdapat takungan air.

Keadaan trek itu bukan saja memberi ketidakselesaan malah membahayakan pengguna bahkan sudah terdapat insiden pengguna tergelincir dan jatuh.

Untuk makluman, situasi itu berlarutan lebih dari dua tahun. Pihak berkuasa tempatan sudah acapkali dimaklumkan, begitu juga wakil rakyat namun tiada tindakan komprehensif diambil kecuali dipasang pita penghadang dan papan tanda amaran yang mengingatkan pengguna supaya berhati-hati.

Bagi mengelak keadaan lebih buruk, seorang pengguna bermurah hati menaja simen konkrit yang diletakkan di atas trek berkenaan.

Pada ketika kami sangat menghargai usaha MPS memasang lampu untuk menghidupkan suasana tasik itu, namun keutamaan sepatutnya diberikan kepada masalah yang saya ajukan ini kerana keselamatan pengunjung lebih penting daripada kecantikan tasik.

Selain itu, penyelenggaraan kebersihan taman tasik ini juga perlu dipertingkatkan kerana sampah yang sangkut di perangkap sampah gagal diselenggarakan dengan cepat. Begitu juga dengan keadaan tasik dan sekitarnya.

Sebagai sebuah taman rekreasi dan riadah, sepatutnya, aspek ini dititikberatkan kerana hanya persekitaran yang bersih, akan melahirkan warga yang sihat. – UTUSAN

RODLY FADLY
Batu Caves, Selangor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN