SAUDARA PENGARANG,
KANAK-kanak generasi masa kini sudah pasti tidak dapat merasai lagi aktiviti bermain permainan tradisional tersebut dalam kehidupan seharian.
Masing-masingnya sudah terbiasa dengan permainan digital. Tidak dinafikan bahawa mereka tidak boleh lari daripada peralatan teknologi masa kini.
Namun begitu, permainan tradisional ini masih lagi boleh diangkat dan diketengahkan kepada mereka menerusi kurikulum sekolah atau melalui aktiviti kemasyarakatan seperti sukaneka.
Hari sukan sekolah atau hari keluarga lazimnya akan menyelitkan sesi permainan, dan permainan tradisional lazimnya menjadi pilihan. Ia bukan sahaja menyeronokkan bahkan membantu individu untuk berfikir dan bertindak secara fizikal.
Terdapat juga sekolah-sekolah yang mengetengahkan konsep permainan tradisional semasa hari sukan.
Ibu bapa murid perlu bermain permainan-permainan tradisional terpilih ini bersama-sama anak mereka. Bagi kanak-kanak generasi ini, permainan tradisional Malaysia tersebut sudah pasti tidak pernah dilihat sebelum ini sudah rasa teruja itu sangatlah tinggi. Jelas kelihatan hubungan dan keseronokan di wajah ibu bapa dan anak-anak sewaktu bermain.
Berbanding permainan digital, permainan tradisional lebih bersifat sosial dan fizikal kerana ia memerlukan kekuatan fizikal serta interaksi antara pemain. Apabila dimainkan bersama ahli keluarga, nescaya hubungan kekeluargaan itu akan lebih terjalin erat.
Bagi individu yang membesar dengan bermain permainan tradisional ini, sudah pasti kenangan zaman kanak-kanak menggamit memori indah. Justeru itu, permainan tersebut masih lagi sesuai untuk dimainkan bergantung kepada situasi.
Malah, permainan tradisional bukan sahaja melambangkan nostalgia budaya masyarakat Malaysia, tetapi ia sarat dengan manfaat pada perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak khususnya. – UTUSAN
SHAHRUL AFFENDI ISHAK
Pelajar Doktor Falsafah (Sumber dan Teknologi Maklumat) di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.










