SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI peminat sukan sepak takraw, saya amat bersetuju dengan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mencadangkan untuk membina stadium dengan kerjasama universiti tempatan.
Cuma saya dan mungkin peminat sepak takraw agak tidak bersetuju apabila stadium terbabit perlu melalui kerjasama universiti tempatan sebaliknya kami mahu melihat sebuah stadium sepak takraw yang khusus seperti stadium bola sepak yang ada di negara ini.
Inilah juga yang dibangkitkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd. Sumali Reduan dalam Utusan Malaysia, pada 6 Jun lalu bertajuk Sumali tolak cadangan Hannah.
Alasan yang diberikan Sumali ada benarnya dan wajar dipertimbangkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan. Banyak masalah yang bakal timbul apabila ‘satu stadium dua kepala’.
Contohnya, universiti menggunakan stadium untuk persediaan pelatih ke kejohanan universiti. Dalam masa yang sama pasukan sepak takraw berlatih untuk persediaan kejohanan antarabangsa mereka. Sudah tentu akan timbul konflik perebutan penggunaan dewan dan persiapan kejohanan.
Atas kejayaan bergelar juara dunia menerusi pasukan dan regu selepas mengatasi Thailand manakala acara berpasukan meraih perak, maka sewajarnya sebuah stadium sepak takraw negara dibina segera.
Semoga terbinanya stadium ini akan akan memberi semangat lebih tinggi kepada anak-anak muda untuk menonjolkan diri dalam sukan sepak takraw dan Malaysia terus mendominasi sukan ini di mata dunia. – UTUSAN
OTAI PENCEN
Pahang










