Nilai pendidikan TVET jangan diketepikan

Nilai pendidikan TVET jangan diketepikan

APAPUN tanggapan, pendidikan TVET dilihat penting di Malaysia kerana graduan TVET berupaya membangunkan industri yang berorientasikan kemahiran dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA sering mendengar keluhan dan persepsi negatif terhadap pelajar-pelajar yang tidak berpeluang meneruskan pengajian dalam aliran akademik tradisional tetapi beralih ke aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ada yang melihat mereka ini bukan daripada golongan pelajar pintar selain hanya mampu membuat kerja yang ‘mengotorkan tangan’ dan tidak profesional.

Apapun tanggapan pihak-pihak ini, pendidikan TVET dilihat penting di Malaysia kerana graduan TVET berupaya membangunkan industri yang berorientasikan kemahiran dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dilahirkan. Sektor seperti pembuatan, kejuruteraan dan perkhidmatan teknikal amat memerlukan tenaga pakar yang disediakan menerusi TVET.

TVET juga menggalakkan inovasi dan keusahawanan menerusi penciptaan produk dan perkhidmatan baharu. Ini sekali gus dapat menjana pembangunan sosioekonomi dengan mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan.
Dari aspek perkembangan teknologi, pendidikan ini menyokong keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan menyediakan tenaga kerja yang mahir dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan siber dan teknologi digital yang lain.

Maka tidak hairan, beberapa negara lain turut terkenal sebagai negara yang mementingkan pendidikan TVET seperti Jerman yang menyatukan pembelajaran di sekolah dengan latihan praktikal di tempat kerja. Negara-negara lain termasuklah Switzerland, Singapura, Australia dan Korea Selatan.

Di Malaysia, beberapa dasar digariskan untuk menyokong pelaksanaan pendidikan TVET. Misalnya, Dasar TVET Kebangsaan (2015) diperkenalkan untuk meningkatkan piawaian pendidikan bidang ini dengan mengintegrasikan pendidikan, latihan dan pekerjaan. Ia menggariskan pelbagai inisiatif termasuk penyelarasan silibus, peningkatan kapasiti guru dan penyelia, serta penyediaan infrastruktur yang lebih baik.

Dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, tumpuan khusus diarahkan kepada melahirkan modal insan berkualiti serba-serbi, selari dengan fokus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan ia akan terus diperhebat melalui agenda pemerkasaan TVET.

Untuk mencapai hasrat ini, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), MaraJapan Industrial Institute (MJII) dan Kolej Profesional Mara melahirkan 8,447 graduan bagi 2024 yang akan menyumbang kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan profesional dalam pelbagai bidang kerjaya. – UTUSAN

DR. SITI SURIANI OTHMAN dan SITI NUR HIDAYAH ABDUL HALIM
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN