SAUDARA PENGARANG,
SAYA teringat komentar Pakar Sejarah, Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam di laman Facebook pada 26 Jun lalu, bertajuk Lihatlah orang Melayu sebagai bangsa penggemar tahyul! Catatan ini ditulis ketika beliau mengulas ruangan berita sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.
Kritikan beliau begitu keras dan pedas kerana menurut hasil penelitian dan penyelidikan yang dilakukan berpuluh tahun, terlalu banyak kisah karut dan tahyul dalam catatan sejarah di alam Melayu yang menjadi ‘pelaris’. Dalam masa sama menggambarkan etika dan kemunduran masyarakat dalam berfikir mencari dan menilai kebenaran serta asal usul kisah yang digemburkan.
Menurut beliau cerita karut dan tahyul ini hanya sekadar cerita, yang kekal hanyalah kebenaran.
Kalaulah seorang pakar sejarah pun begitu lantang mengkritik penyebaran dan dakyah kisah-kisah tahyul yang masyhur di alam Melayu dalam kalangan masyarakat menerusi hasil penelitian dan kajian ilmiah dan saintifik, apatah lagi kisah-kisah dan cerita khurafat dan tahyul yang melibatkan hal ehwal agama berkaitan akidah, syariat mahupun akhlak yang berleluasa pada saat ini.
Perlu diingat bahawa agama Islam yang berdiri teguh pada saat ini tidak terhasil daripada kisah-kisah karut dan tahyul apatah lagi palsu, sebaliknya bertunjangkan kepada dalil kebenaran iaitu wahyu agung al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Kita semua menghormati apa jua kaedah atau pun pendekatan pada zaman moden dalam menyampaikan dakwah apatah lagi nilai kebenaran Islam. Dan Islam sama sekali tidak melarang dan menegah apa jua pendekatan baharu selagi tidak bertentangan dengan pertimbangan syariat. Namun haruslah diingatkan bahawa sehebat manapun atau secanggih manapun kaedah tersebut, ia haruslah berteraskan kepada usul dan disiplin ilmu yang ditetapkan dalam agama.
Jangan sampai terlalu mengutamakan ‘nilai hiburan serta sensasi’ sehingga ‘mempergunakan agama’ dan mengabaikan teras dan kaedah yang sebenar dalam penyampaian ilmu. Lebih buruk dan malang lagi apabila mesej tahyul dan palsu direka dan digemburkan sebagai modal ‘pelaris’, maka inilah punca kemunduran berfikir malah titik permulaan pengabaian kepada kaedah dan sumber dalam disiplin pengajian Islam yang digariskan oleh para alim ulama.
Cukuplah apabila Allah SWT memberikan peringatan dalam Surah al-Isra’ ayat 36: “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.
Begitu juga sabda Baginda Nabi SAW (yang bermaksud): “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Hadith riwayat Imam Bukhari)-UTUSAN
DR. SELAMAT AMIR
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya










