SAUDARA PENGARANG,
ADA tiga nilai utama yang sentiasa muncul dalam catatan sejarah. Tiga nilai ini ketika ada, mengangkat martabat sebuah tamadun, tetapi ketika hilang, menjatuhkan tamadun itu.
Tiga nilai ini jugalah yang akan menentukan masa depan Malaysia sama ada menjadi sebuah negara bermartabat dan bermaruah atau ditertawakan dunia.
Nilai integriti
Malaysia memerlukan masyarakat yang pada setiap peringkat baik yang di atas mahupun yang di bawah mempunyai nilai integriti yang teguh.
Yang di atas tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa dan membazir sumber mahsul negara. Yang di bawah juga tidak sewenang-wenangnya menipu dan mengambil hak orang lain dalam urusan kehidupan seharian mereka.
Namun, beban integriti ini lebih berat buat mereka yang berada di atas iaitu mereka yang mengurus tadbir hal ehwal negara. Apabila mereka tidak berintegriti, kesan buruknya lebih besar kepada masyarakat seluruhnya.
Kekuatan intelektual
Malaysia memerlukan lapisan generasi baharu yang mempunyai kekuatan nilai intelektual yang sifatnya mendalam dan meluas.
Nilai intelektual akan mendorong kepada kekayaan idea-idea baharu dan kreatif dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat baik dalam bentuk polisi, dasar, tadbir urus, program dan lain-lain.
Kekuatan nilai intelektual ini sangat penting agar negara tidak ketandusan generasi pemikir yang terus-menerus mencetuskan perubahan-perubahan baru buat negara.
Kekuatan kepimpinan
Kepimpinan yang kuat bukan semata-mata tentang besarnya kuasa, tapi besarnya daya dan idea untuk mengajak rakyatnya bersama-sama menjayakan usaha-usaha perubahan.
Kuatnya sesuatu kepimpinan akan memberikan keyakinan dan jaminan bahawa kita mampu untuk mengenalpasti ketidaktentuan. Pentingnya kepimpinan ini adalah kerana dalam ruang ketidaktentuan, yang paling mencabar ialah ketidakjelasan dan kekaburan.
Kuncinya adalah mendidik dan melahirkan generasi hari ini dengan tiga nilai:
- Perkasakan integriti dengan cukup kuat hingga tanpa tekanan undang-undang pun, tiada siapa yang akan melanggar kompas moralnya melampaui kepentingan peribadi.
- Teguhkan nilai intelektual hingga sentiasa lahir idea-idea yang mampan dan kreatif bagi menyelesaikan masalah-masalah baharu di tengah masyarakat.
- Perjuangkan upaya kepimpinan agar bahtera besar rakyat ini dapat dikemudi dengan jayanya walau besar mana pun gelombang yang melanggar.
Andai tiga nilai ini dapat kita suburkan dalam generasi muda, yakinlah negara ini di tangan insan-insan yang dapat menjamin kesejahteraan semua. – UTUSAN
USAID MUHAMAD ASMADI
Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia










