SAUDARA PENGARANG,
BAGI mereka yang tidak memperoleh A ataupun merasakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengecewakan, ketahuilah bahawa ia bukanlah kegagalan setelah berusaha sehabis baik. Barangkali ia adalah suatu permulaan bagi meniti kejayaan pada masa akan datang, asal jangan berputus asa.
Usaha mengulangkaji pelajaran, menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran dalam kelas serta membuat latihan. Yang paling utama bagaimana usaha ini digarapi dengan akhlak yang baik. Segala usaha tersebut diserahkan dan dipergantungkan kepada Allah dalam konsep tawakkal.
Hargai jasa dan pengorbanan ibu bapa dalam memberi pendidikan kepada kita. Kehadiran mereka sebagai pendorong utama dalam melangkah kehidupan terutama semasa anak dalam keadaan kesedihan kerana tidak mencapai keputusan yang diharapkan.
Jadikan ia sebagai pemangkin untuk sentiasa berusaha ke arah kebaikan. Janganlah kerana sekelumit kekecewaan, maka mudah untuk terjerumus dalam melakukan kesalahan dan kesilapan dalam menjalani kehidupan seperti terpengaruh dengan kumpulan yang tidak berakhlak, melempiaskan kemarahan kepada ibu bapa, melakukan kerosakan terhadap harta benda dan seumpamanya.
Sentiasa berlapang dada dengan keputusan yang diperoleh. Ucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mengajar sebagai penghargaan di atas bimbingan dan didikan mereka selama ini.
Pelajar perlu jadikan kehidupan di sekolah sebagai permulaan latihan bagi menghadapi dunia seterusnya yang lebih banyak cabaran. Kejayaan dan kegagalan untuk mengecapi sesuatu tidak dijadikan sebagai penghalang untuk terus berusaha.
Kejayaan dalam SPM contohnya bukanlah noktah bagi kemuncak kehidupan. Begitu juga kekecewaan dalam mendapatkan keputusan SPM yang diidamkan bukanlah penamat kepada kehidupan. Berfikirlah dan bertindak secara positif. Jadikan akhlak mulia sebagai perisai bagi memperolehi keberkatan dalam kehidupan. – UTUSAN
DR. ASMA’ WARDAH SURTAHMAN
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin










