SAUDARA PENGARANG,
ISRAEL dan sekutunya telah melangkaui batas kerana selain nyawa rakyat Palestin, rumah kediaman, hospital-hospital termasuklah sekolah dan universiti yang dikategorikan sebagai lokasi awam yang mana mengikut undang-undang antarabangsa adalah dilarang sama sekali untuk dijadikan sasaran, telah dimusnahkan.
Bahkan sehingga ke hari ini, lebih dari 95 profesor telah terbunuh. Statistik dari Kementerian Pendidikan Palestin juga melaporkan lebih dari 4,327 murid dan pelajar serta lebih dari 231 orang tenaga pengajar dan pentadbiran institusi pendidikan telah terkorban dalam serangan Israel.
Majoriti institusi pendidikan di Palestin telah dimusnahkan oleh tentera Israel. Universiti Israa, Universiti Islam Gaza di bandar Gaza dan Al Azhar merupakan antara universiti terawal yang dimusnahkan oleh tentera Israel. Termasuklah Universiti Al-Aqsa di bandar Gaza, sebuah institusi pengajian tinggi kerajaan tertua yang ditubuhkan pada 1955 menawarkan pelbagai program pengajian seperti seni, media, sukan dan teknologi maklumat juga telah diserang dan dimusnahkan.
Selain itu, menurut agensi berita Palestin Wafa, 12 institusi pengajian tinggi di Gaza telah rosak atau musnah, mengganggu sepenuhnya pendidikan universiti di Palestin.
Jika Israel dan sekutunya merasakan dengan memusnahkan institusi pendidikan mereka dapat meniadakan peradaban dan menggencatkan kemajuan masyarakat di Palestin, situasi ini sebenarnya membangkit lebih banyak rekod dan dokumentasi perjuangan terhadap Palestin.
Kini kita menjadi saksi bangkitnya gelombang suara, solidariti dan tindakan bersama yang digerakkan oleh pelajar dan pensyarah dari institusi pendidikan di negara-negara lain di dunia ini.
Gelombang protes, gerakan sosial dan perkhemahan solidariti Gaza dimulakan pelajar-pelajar di kampus universiti di Amerika Syarikat (AS) seperti di Universiti Colombia pada 17 April 2024 menuntut genjatan senjata serta institusi pendidikan dan organisasi-organisasi agar berlepas dari mempunyai sebarang kaitan dengan Israel.
Gerakan sosial turut digerakkan oleh pelajar-pelajar di institusi pendidikan seperti di University Oxford dan University Cambridge telah menjalankan strategi perkhemahan sebagai tanda protes dan usaha untuk melobi pihak universiti untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar senjata dan organisasi-organisasi yang mempunyai kaitan dengan Israel disamping menyokong gesaan untuk gencatan senjata di Palestin.
Mereka menyuarakan enam tuntutan agar institusi pendidikan tidak terus dimanipulasi. Institusi pendidikan diminta untuk berjanji agar memboikot pembunuhan yang dilakukan oleh Israel, mendedahkan kewangan yang melibatkan Israel dan sekutunya, menghentikan jalinan ekonomi yang melibatkan Israel dan sekutunya, membantu membina semula pendidikan di Palestin, menjauhkan diri dari terlibat dengan pembunuhan dan aparteid serta apa-apa penindasan dan yang dilakukan Israel dan sekutunya.
Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memperihalkan tentang kezaliman Israel ke atas penduduk Palestin. Apa yang ditunjukkan oleh gelombang suara masyarakat di seluruh dunia dan sokongan terhadap Palestin ini bukan hanya isu agama tetapi ia adalah isu dan hak asasi kemanusiaan sejagat.
Setiap individu, organisasi mahupun kumpulan-kumpulan masyarakat melalui gerakan sosial, khususnya di Malaysia, berhak dan wajar bersuara untuk menyatakan pendirian mereka agar penindasan ini mendapat pembelaan yang sewajarnya berdasarkan garis panduan yang dianjurkan Islam. – UTUSAN
DR. KARTINI KAMARUZZAMAN dan DR. MARINA MUNIRA ABDUL MUTALIB
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia










