SAUDARA PENGARANG,
BOIKOT jika dilakukan dengan bijaksana, tersusun dan efektif boleh menghantar mesej yang kuat kepada syarikat-syarikat asing yang bersekongkol mendanai rejim Zionis. Betul kuasa ada di tangan pengguna. Kita boleh memilih. Tetapi adakah pilihan kita itu sesuatu yang tepat atau hanya didorong oleh emosi dan tindakan membabi-buta? Adakah kita memeriksa dan yakin bahawa syarikat ini mendanai kegiatan pembunuhan di Gaza dan pro-Israel atau kita mengikut sahaja apa yang disarankan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang agendanya juga samar-samar.
Apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini, saya merasakan ada puak-puak yang menunggang sentimen boikot ini secara berlebihan. Daripada ahli politik kepada aktivis masyarakat, tokoh perniagaan dan cendekiawan.
Ada tuduhan dilakukan tanpa usul periksa, label melabel berleluasa. Ada syarikat tempatan yang menggunakan taktik ini untuk “membunuh” pesaing mereka terutamanya syarikat asing. Tujuannya adalah untuk menguasai pasaran, namun isu Gaza ditunggang sehabis baik.
Ada yang kehilangan kerja akibat prestasi syarikat yang diboikot terkesan. Ada juga yang berhenti kerja kerana tidak sanggup dicemuh oleh masyarakat tempatan kerana dilabel bersekongkol dengan perniagaan yang dikatakan pro-Israel. Majoriti daripada mereka yang kehilangan kerja ini adalah Melayu Islam.
Hakikatnya, ramai yang kehilangan kerja dan bakal kehilangan kerja jika ini diteruskan. Saya ingin bertanya, adakah NGO-NGO ini tampil untuk membantu mereka yang kehilangan kerja?
Siapa yang tampil untuk membantu atau siapa yang berani untuk mempersoalkan tindakan NGO-NGO ini? Persoalan saya, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab? Kerajaan? NGO?
Mereka merasakan boikot adalah langkah yang paling berkesan untuk menyekat rejim Zionis. Namun,ada di antara mereka apabila saya tanya kembali- betulkah syarikat X, Y, Z pro Israel- mereka tidak begitu pasti.
Jadi, saya ingin menyarankan kepada NGO-NGO untuk lebih adil dan bijaksana dalam memberi saranan untuk memboikot. Perlu ada akauntabiliti untuk NGO-NGO ini. Jangan gunakan kuasa anda untuk menghasut dan menyebarkan kebencian. Jangan jadi platform ahli politik yang hanya mahukan populariti. Hentikan budaya label melabel dalam masyarakat. Lakukan sesuatu yang lebih memberi impak langsung kepada mereka di Gaza, seperti menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Setidak-tidaknya, bantu mereka yang hilang kerja akibat boikot di Malaysia. Kepada syarikat yang untung akibat pesaing diboikot, berlaku adil. Jangan tamak dan ambil keuntungan semata-mata. Bantu rakyat Malaysia yang kehilangan kerja akibat diboikot secepat mungkin.
Kepada kerajaan, beranilah bersuara untuk membela rakyat tempatan yang terkesan akibat boikot. Kepada ahli politik, janganlah menunggang isu ini berlebihan. Mungkin niat anda baik, namun, fikirkanlah juga nasib rakyat seperti kami.
Jika dibiarkan situasi begini, saya khuatir ramai lagi rakyat Malaysia yang akan terhimpit dan terbeban. Tiada tempat untuk kami mengadu. Kerana rakyat takut untuk bersuara dalam isu Gaza ini. Salah cakap, akan dihentam dan diboikot. Tetapi realitinya, ramai seperti saya dan keluarga yang sedang menderita dalam diam. Saya berdoa siang dan malam supaya rakyat Palestin diberi kemenangan dan dipermudahkan segala urusan, dan rakyat Malaysia secara amnya dapat kembali rasional dan membantu orang yang terkesan seperti saya dan keluarga. – UTUSAN
HAMZAH MD. ARIFF










