SAUDARA PENGARANG,
KEJOHANAN Piala Thomas yang baharu lalu merupakan kejohanan dwitahunan edisi yang ke 33. Tahniah diucapkan kepada kontinjen China kerana berjaya mengukir nama sebagai juara sekali gus merangkul Piala Thomas buat kali ke-11.
Tahniah juga diucapkan kepada kontinjen negara atas saingan yang diberikan walaupun secara jujur pada pandangan saya, persembahan yang dipersembahkan amat hambar, mengecewakan dan tidak menyengat.
Mengimbas kembali kenangan pada malam 16 Mei 1992, detik Harimau Malaya mengaum dan menjulang Piala Thomas, sehingga kini masih segar dan terpahat dalam ingatan dan sanubari setiap rakyat Malaysia. Kemenangan pada malam itu bukan sahaja dikongsi bersama para atelet badminton negara malah turut sama diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa batasan agama, kaum atau bangsa. Generasi sekarang tidak dapat merasakan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia pada ketika itu.
Malangnya, di manakah kedudukan kita dalam arena sukan badminton ketika ini? Penjelasan ‘kita sedang berusaha’ dalam meningkatkan prestasi sukan badminton sudah tidak releven lagi.
32 tahun yang lalu, kali terakhir kita menjuarai Piala Thomas merupakan jurang masa yang terlalu lama.
Suntikan dana dan kecanggihan teknologi yang sedia ada seharusnya menampakkan dan membuahkan hasil tetapi kita semakin ketinggalan dan mungkin akan terpupus dalam arena sukan badminton suatu hari nanti sekiranya tiada plan tindakan dan perubahan.
Ubah dan rombak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi maruah dan martabat sukan badminton negara. Perubahan rasional dan sistematik perlu diambil secara drastik bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan badminton negara.
Kami mahu kembali rasa teruja untuk melihat dan melalui detik-detik sebagaimana dilakar oleh legenda-legenda kita, 32 tahun dahulu. Perubahan dan rombakan haruslah di peringkat akar umbi demi merealisasikan impian membawa pulang Piala Thomas dan memastikan bendera Malaysia berkibar megah dalam arena sukan badminton.
Rombakan perlulah dilakukan secara telus dengan mengambil kira semua aspek terutamanya meritokrasi dan prestasi tanpa melibatkan unsur-unsur politik, kroni atau nepotism. Sebelum kita menuju ke arah membentuk barisan pemain yang ligat dan kental, kita seharusnya menerapkan matlamat itu terhadap BAM dahulu.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berilah laluan dengan mengundur diri. Sebagai peminat badminton, saya tidak nafikan ada pencapaian namun jika dibandingkan dengan visi dan misi, ia boleh diklasifikasikan sebagai di bawah garis par atau gagal.
Presiden Nusa Mahsuri, Datuk Jalani Sidek layak dinobatkan sebagai Presiden BAM menggantikan yang sedia ada. Gandingkan bersama Misbun Sidek sebagai Pengarah Kejurulatihan sementara Datuk Lee Chong Wei pula sebagai Pengarah Akademi Badminton Malaysia.
Misbun Sidek menjadi satu-satunya pemain Malaysia layak ke final Piala Dunia Badminton tambahan lagi beliau merupakan pemain Malaysia pertama mara ke final All England selepas 12 tahun Malaysia ketandusan pemain badminton.-UTUSAN
PREM ANANTH
Peminat Badminton










