SAUDARA PENGARANG,
CAHAYA matahari bukan sahaja sumber vitamin D yang bagus utuk kesihatan fizikal tetapi juga bagus untuk kesihatan mental manusia. Individu yang mendapat sumber cahaya matahari ini mempunyai tahap kesejahteraan mental yang lebih baik sekali gus jauh daripada stres melampau, anxiety dan kemurungan.
Dalam laporan National Institute of Health yang ditulis oleh Razzaque MS (2018) bertajuk ‘Sunlight exposure: Do Health Benefits Outweigh Harm?’ menjelaskan manusia mungkin tidak dapat hidup dengan sihat tanpa cahaya matahari.
Cahaya matahari memberikan perlindungan terhadap pelbagai jenis penyakit bukan sahaja penyakit fizikal tetapi juga gangguan mental. Dalam laporan Association Between Sunlight Exposure and Mental Health: Evidence from a Special Population Without Sunlight in Work oleh Wang et al., (2023) mendapati bahawa terdapat perkaitan positif antara pendedahan cahaya matahari dengan kesihatan mental.
Bagaimana ini berlaku? Pendedahan kepada cahaya matahari memberi isyarat kepada otak untuk membebaskan hormon yang dipanggil serotonin. Cahaya matahari memberi isyarat kepada kawasan khas dalam retina untuk mencetuskan pembebasan hormon ini.
Hormon serotonin akan meningkatkan mood dan membantu seseorang berasa tenang dan fokus. Di samping itu, pendedahan kepada cahaya matahari boleh merangsang pengeluaran endorfin, hormon yang memberi tumpuan kepada melegakan tekanan dan kesakitan.
Untuk menjaga kesihatan mental kita cukuplah bermula dengan langkah pertama, iaitu dedahkan diri anda kepada sinaran cahaya matahari. Alangkah baiknya jika dapat berjalan 10,000 langkah di bawah sinaran cahaya matahari pagi. Tubuh badan semakin sihat kesihatan mental semakin sejahtera. Katakan tidak kepada stres! – UTUSAN
DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia










