SAUDARA PENGARANG,
MENJADI guru tadika tidak mudah seperti yang disangka. Seseorang guru tadika itu perlu memiliki pakej lengkap seperti sebagai seorang guru. Namun, apa yang membezakannya adalah rasa sayang kepada kanak-kanak.
Tidak semua orang memiliki tahap kesabaran dan rasa sayang yang tinggi pada kanak-kanak. Lumrah kanak-kanak yang sangat aktif, sering bertanya, lemah dalam mengawal emosi, serta lemah dalam pengurusan kendiri menyebabkan seorang guru tadika itu perlu memikul tugas memastikan kanak-kanak ini bukan sahaja dapat menimba ilmu, tetapi dapat menyesuaikan diri apabila berjauhan dengan ibu bapa.
Lazimnya, guru tadika sinonim dengan golongan wanita berbanding lelaki. Walau bagaimanapun, peranan guru lelaki di tadika juga penting, selain membawa imej kebapaan atau father figure. Mengurus kanak-kanak memerlukan tenaga yang lebih, lebih-lebih lagi jika berlaku sebarang kemalangan yang memerlukan tindakan fizikal yang pantas.
Kanak-kanak sangat mudah terganggu tumpuannya. Oleh itu, seseorang guru itu perlu memiliki sifat yang ceria dan perwatakan menarik supaya berjaya menarik perhatian kanak-kanak ini. Tidak boleh berasa malu dan memiliki lontaran suara yang kuat adalah menjadi kewajipan.
Personaliti menarik nescaya menjadi kunci kepada keberhasilan didikan kepada kanak-kanak. Seseorang guru yang berkualiti akan menjadi contoh ikutan bagi kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak menjadikan guru mereka sebagai idola.
Makanya, guru itu sendiri harus menzahirkan contoh terbaik agar mempengaruhi keperibadian kanak-kanak khususnya.
Seorang guru itu tidaklah mengharapkan hadiah yang banyak sebagai tanda penghargaan sebaliknya kejayaan seseorang murid itulah adalah hadiah terbesar bagi seorang insan yang bergelar guru.
Amat berat rasa hati bagi seorang guru tadika yang akan melepaskan anak didik mereka untuk menempuh alam sekolah rendah dah meneruskan kehidupan sehingga menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan. – UTUSAN
Shahrul Affendi Ishak
Guru tadika










