Bencana alam peringatan kepada manusia

Bencana alam peringatan kepada manusia

BENCANA alam sering menyebabkan keadaan darurat, sehingga menyebabkan kerugian kewangan, kerosakan struktur dan kehilangan nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUTAKHIR ini, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerima taburan hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun sehingga mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan negara tersebut terutamanya Dubai.

Bencana alam adalah kesan buruk daripada kejadian atau gabungan aktiviti semula jadi, seperti letusan gunung berapi, gempa bumi, tanah runtuh, taufan, banjir dan aktiviti manusia.

Bencana alam sering menyebabkan keadaan darurat, sehingga menyebabkan kerugian kewangan, kerosakan struktur, bahkan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Pastinya setiap sesuatu yang terjadi mempunyai sebab tersurat dan tersirat yang perlu difikirkan secara rasional dan mendalam berlunaskan ajaran Islam dan berpaksikan keimanan kepada Allah.

Sekiranya diperhatikan, terdapat beberapa aktiviti pihak yang tidak bertanggungjawab secara rakus untuk mencari keuntungan demi kepentingan peribadi tanpa menghiraukan kerosakan yang bakal berlaku.

Sewajarnya setiap individu bermuhasabah dan menginsafi kembali perbuatan selama ini supaya tidak berulang kembali serta berusaha mendidik dan memperbaiki keadaan untuk kebaikan generasi akan datang.

Ambil iktibar dan pengajaran dari setiap musibah dan ujian yang telah diturunkan oleh Allah. Sewajarnya, masyarakat Islam menggandakan dan memanjatkan doa kepada Allah supaya ujian bencana alam yang berlaku mampu membuka hati dan fikiran untuk terus mengukuhkan keimanan dan ketakwaan di sisi Allah.

Masyarakat Islam dinasihatkan supaya tidak terjebak atau mengaitkan bencana alam dengan perkara dan perbuatan khurafat yang boleh merosakkan dan memesongkan pegangan akidah atau keyakinan kepada Allah.

Insafilah bahawa tiada yang lebih berkuasa dan berhak dalam menentukan segala sesuatu selain dari Allah. Marilah terus berdoa supaya individu yang ditimpa ujian dan musibah diberikan perlindungan, keselamatan, ketabahan dan sebagainya.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AZRI BHARI
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN