Teknologi selamatkan kediaman semasa pulang beraya

Teknologi selamatkan kediaman semasa pulang beraya

BETAPA ruginya jika tidak menggunakan kemudahan teknologi sedia ada bagi meningkatkan keselamatan kediaman.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SYAWAL yang bakal menjelma pastinya mengujakan seluruh masyarakat terutamanya bagi yang bakal pulang berhari raya. Walau bagaimanapun, menjadi igauan dan kerisauan bagi perantau yang terpaksa meninggalkan kediaman sepanjang musim cuti perayaan ini. Adakah teknologi sedia ada mampu menyelesaikan malang tidak berbau yang boleh berlaku semasa musim perayaan?

Salah satu penyelesaian yang boleh dilakukan adalah dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV). Dengan kelebihan ini, penghuni boleh memantau kawasan kediaman serta kawasan berhampiran dengan fungsi kamera dan video yang memberikan rakaman masa nyata.

Fungsi pengesan pergerakan juga membolehkan notifikasi dihantar terus ke peranti mudah alih pemilik kediamaan sekiranya terdapat pergerakan lalu lalang di sekitar kawasan rumah yang mencurigakan.

Selain itu, fungsi pembesar suara pada kamera litar tertutup juga membolehkan pemilik kediaman memberi amaran sekiranya menyedari kawasan rumah cuba dipecah masuk.

Selain itu, salah satu alternatif untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran adalah dengan menggunakan pengesan kebocoran gas. Sama seperti keupayaan kamera litar tertutup, pengesan kebocoran gas juga boleh disambungkan dengan jaringan internet dan mampu memberikan maklumat kebocoran gas ke peranti mudah alih pemilik kediaman.

Dengan adanya suis wifi, pemilik kediaman mampu memantau serta menutup suis ataupun peralatan elektrik yang masih belum dipadamkan melalui aplikasi peranti mudah alih yang diintegrasi dengan suis wifi.

Pemilik kediaman juga tidak perlu risau akan kejadian terputus bekalan elektrik yang menyebabkan peralatan elektrik seperti peti sejuk akan tertutup, ataupun lampu yang ingin dibuka pada waktu tertentu. Semua ini dapat dilakukan dengan adanya suis wifi.

Sistem yang lebih ideal ialah sistem rumah pintar, yang sememangnya menjanjikan mekanisme automasi dan integrasi seluruh kelengkapan dalam kediaman yang lebih menyeluruh.

Walau bagaimanapun, kos pemasangan dan penyelenggaraan merupakan dilema utama yang dihadapi oleh pemilik kediaman. Untuk peringkat permulaan, keselamatan rumah sudah mampu ditingkatkan dengan adanya peralatan seperti CCTV, pengesan kebocoran dan suis yang boleh disambungkan dengan rangkaian internet. Peralatan sebegini mampu dimiliki dengan kos yang murah serta mudah dipasang secara plug and play tanpa memerlukan kerja-kerja pendawaian rumah.

Dengan kesedaran sebegini dapat mengurangkan beban petugas awam seperti polis dan bomba apabila tanggungjawab ini diambil oleh pemilik kediaman.-UTUSAN

MUHAMAD RIDZUAN RADIN MUHAMAD AMIN
Fakulti Teknologi Elektrik dan Elektronik,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×