PENGURUSAN wakaf di sesebuah negara memerlukan peruntukan perundangan yang lengkap bagi memaksimumkan keupayaan penggunaannya dalam sektor kewangan.
Saya berpendapat perlunya penilaian semula kaedah pengurusan organisasi wakaf dan undang-undang sedia ada bagi menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan aktiviti wakaf.
Kajian mendalam mengenai pembaharuan mendesak undang-undang wakaf yang sedia ada, misalnya Enakmen Wakaf (Melaka) 2005, Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005, Enakmen Wakaf (Selangor) 2015, Enakmen Wakaf (Perak) 2015, Enakmen Wakaf (Terengganu) 2016 dan Enakmen Wakaf (Sabah) 2018 adalah contoh yang agak terperinci dan lebih praktikal berbanding negeri-negeri yang hanya bergantung sepenuhnya kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam.
Walau bagaimanapun, undang-undang ini masih kurang komprehensif belum mampu menyediakan pentadbiran organisasi wakaf yang berkesan, antaranya :
- Ketidakseragaman perundangan wakaf di Malaysia. Beberapa halangan dan kekangan perundangan yang menghalang usaha membangunkan harta wakaf di Malaysia dikenalpasti, misalnya kekurangan garis panduan tadbir urus syariah dan kaedah pelaksanaan bagi institusi wakaf yang dipercayai dapat menyusun pengurusan aset wakaf bertepatan dengan keperluan syariah, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan pengawalseliaan.
- Perlunya pengurusan aset wakaf yang profesional dan efektif. Antara cabaran pengurusan wakaf adalah ketidakcukupan dana dalam membangunkan harta wakaf, kawalan dalaman dalam institusi wakaf yang lemah, kepincangan pangkalan data, kesedaran masyarakat terhadap konsep wakaf masih belum jelas, kekurangan tenaga pakar dalam pengurusan wakaf.
- Terdapat lacuna dalam sistem pendaftaran serta kaedah meletakkan tanah wakaf. Saya mencadangkan penambahbaikan peruntukan undang-undang, kaedah istibdal serta kaedah-kaedah penggunaan aset wakaf untuk meningkatkan pembangunan harta wakaf.
- Kurangnya mekanisme kewangan yang mematuhi syariah yang inovatif yang boleh memudahkan institusi wakaf untuk membangun berdasarkan tuntutan syarak serta menepati kepentingan pewakaf, harta-harta wakaf dan penerima wakaf.
Justeru, dicadangkan tiga komponen yang penting untuk pengurusan wakaf yang cekap meliputi:
- Perundangan komprehensif wakaf merangkumi peruntukan perundangan yang holistik serta lengkap melibatkan punca kuasa, hak milik dan status pegangan harta wakaf.
- Pentadbiran dan pengurusan aset wakaf meliputi perlindungan harta wakaf, pendaftaran, perekodan, kompetensi pegawai dan penjanaan dana.
- Perancangan ekonomi, pembangunan, pelaburan dan pengurusan harta wakaf meliputi pembiayaan, sewaan, status dan lokasi fizikal tanah wakaf, kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kajian kebolehlaksanaan. – UTUSAN
DR. MUHAMAD FIRDAUS AB RAHMAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










