Pandu secara berhemah tanda syukur nikmat

Pandu secara berhemah tanda syukur nikmat

BERHATI-HATI dan patuh segala undang-undang semasa pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HANYA beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tentunya ramai yang tidak sabar untuk pulang bertemu ahli keluarga, sanak saudara, lebih-lebih lagi ayah dan bonda tercinta di kampung halaman.

Bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang dan mahu pulang beraya ke kampung terutamanya di belah utara kini mempunyai dua pilihan laluan sama ada menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) ataupun Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Sebagai manusia, sewajarnya kita bersyukur dengan segala kemudahan sedia ada seperti jalan raya dan pengangkutan dengan menggunakannya dengan cara yang berhemah serta tidak mementingkan diri kerana kesemuanya ini adalah anugerah dari Allah SWT ke atas manusia.

Ingatlah sesungguhnya sebelum teknologi berkembang maju seperti zaman sekarang ini, terlebih dahulu Allah menjinakkan binatang, lalu dijadikan kenderaan untuk manusia.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan kamu manusia beroleh pelbagai faedah pada binatang ternak itu, supaya kamu dapat memenuhi satu hajat yang ada di dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu sebagai kenderaan kamu diangkut”.

Pada ayat 42, surah Yasin juga diperingatkan perkara sama berkenaan faedah menggunakan kenderaan. Maksud firman-Nya; “Dan kami ciptakan untuk manusia, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya (menunggangnya).”

Melalui ayat-ayat ini, Allah memulakan pertanyaan apakah manusia lupa dan tidak memerhati atau melihat sambil berfikir kerana Allah mahukan manusia yang bersyukur atas nikmat pemberiannya yakni menggunakan kenderaan yang dapat memudahkan segala urusan manusia.

Justeru, memandu kenderaan secara berhemah dan berhati-hati di jalan raya merupakan tuntutan daripada syariat Islam yang harus dipatuhi sebagai tanda tidak melupakan rahmat Allah.

Memandu secara melulu dan bahaya di atas jalan raya sehingga mengakibatkan kemalangan adalah berdosa besar, yakni sama dosanya seperti orang yang berniat untuk membunuh kerana sengaja mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Semoga anda semua selamat sampai ke destinasi bagi mereka yang pulang beraya ke kampung masing-masing. Patuhi had laju yang ditetapkan dan ingat orang yang tersayang.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN