Jangan lupa amalan di bulan Ramadan

Jangan lupa amalan di bulan Ramadan

TEMPOH masa sebulan dalam Ramadan seharusnya dianggap sebagai platform muhasabah diri. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP tahun, bulan Ramadan merupakan bulan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Bulan ini merupakan bulan yang penuh dengan kemuliaan.

Pada bulan ini jugalah al-Quran yang menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia diturunkan oleh Allah.

Berdasarkan Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim, iaitu daripada Abu Hurairah bahawa nabi bersabda “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredaannya, akan
diampunkan semua dosanya yang telah lepas.”

Sedar tidak sedar, beberapa hari sahaja lagi, Ramadan bakal meninggalkan kita dan bulan Syawal pula bakal menjelma.

Sekiranya diselusuri semula tempoh masa sebulan ini, Ramadan ternyata meninggalkan impak yang begitu besar kepada seluruh umat Islam. Dalam bulan yang penuh mulia ini, umat Islam disarankan supaya sentiasa mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan ataupun mengurangkan pahala puasa.

Segala deria yang Allah kurniakan termasuklah mata, tangan, hidung, telinga, serta deria-deria yang lain harus dipelihara sebaik mungkin supaya tidak cenderung mengurangkan pahala puasa ataupun membawa kepada terbatalnya puasa.

Sebagai contoh, seseorang individu yang berpuasa tetapi hari puasanya penuh dengan aktiviti yang tidak baik seperti mengeluarkan percakapan yang menghina seseorang yang lain (mengecam pengguna lain di media sosial), menonton video-video yang kotor dan keji serta lain-lain lagi perbuatan yang tidak berfaedah.

Selain itu, umat Islam juga disarankan supaya mengisinya dengan perkara-perkara yang baik. Sebagai contoh, solat fardu dan solat sunat tarawih bersama dengan ahli keluarga, mendengar kuliah sama ada secara atas talian ataupun di masjid, banyakkan berdoa, tadarus al-Quran, banyakkan bersedekah, misalnya menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, banyakkan zikrullah, selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad, melakukan perkongsian ilmu pengetahuan yang baik di media sosial dan perkara-perkara lain yang boleh memberikan kebaikan kepada diri, keluarga serta seluruh anggota masyarakat.

Di samping itu, umat Islam turut disarankan mengawal perbelanjaan dengan baik. Perancangan perbelanjaan secara berdisiplin dan berhemah harus dilakukan supaya apa jua pembelian yang dibuat termasuklah makanan bagi berbuka puasa, pakaian menjelang raya, persiapan kuih muih raya dan lain-lain tidak berlandaskan kepada nafsu, tetapi lebih kepada keperluan.

Dengan cara ini, sikap boros dalam diri dapat dikikis sekali gus tidak menyukarkan diri sendiri dan keluarga di masa akan datang.

Secara keseluruhannya, bulan Ramadan merupakan bulan yang amat baik sebagai platform tazkirah sama ada kita masih ingin melakukan perubahan menjadi seorang individu yang lebih baik atau kekal dengan cara lalu yang mungkin kurang memberikan manfaat kepada orang lain.

Tempoh masa sebulan ini seharusnya dianggap sebagai platform muhasabah diri. Semoga Ramadan yang bakal berlalu ini bukan merupakan Ramadan terakhir buat kita semua dan semoga ia memberikan banyak makna kepada diri kita dan seluruh umat amnya. – UTUSAN

DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI
Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN