SAUDARA PENGARANG,
PERMOHONAN semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan bagi mendapatkan satu pengisytiharan sama ada wujud atau sebaliknya berkaitan arahan tambahan atau adendum semasa berlangsungya sidang jemaah Lembaga Pengampunan bagi membenarkan beliau ditempatkan sebagai banduan tahanan rumah.
Sebagai pemohon, beliau diantaranya telah meminta pihak defendan atau salah satu daripadanya (defendan-defendan) membuktikan atau sebaliknya sama ada wujud satu perintah adendum yang dimaksudkan menerusi affidavit bersumpah.
Pernyataan tuntutan sedemikian adalah vital malah bakal menjadi keutamaan pihak mahkamah dalam menentukan mengenai soal keabsahan ke atas perkara subjek utama dalam permohonan berkenaan.
Malangnya, apa yang berlaku sekarang ini ialah kaitan politik yang menjadikan isu berkenaan perbahasan umum seakan-akan pemimpin politik khususnya dari UMNO mengambil alih tugas mahkamah dalam mengabsahkan mengenai perintah tahanan rumah berkenaan.
Satu affidavit bersumpah oleh pihak ketiga yang tiada kaitan sebagai plaintif atau defendan dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan layak dianggap sebagai mendahului kehendak pemohon dalam kes berkenaan.
Secara keadilan mutlak bahawa pihak mahkamah akan memberikan keutamaan dalam mencapai penghakimannya kepada pengakuan menerusi affidavit bersumpah oleh pihak defendan atau wakilnya yakni ahli jemaah Lembaga Pengampunan.
Affidavit bersumpah oleh pihak ketiga atau apa yang disebut oleh peguam plaintif sebagai ‘saksi kritikal’ bukanlah membawa maksud kritikal sebenarnya buat masa ini.
Sama ada pihak kerajaan madani didakwa cuba menyembunyikan isu adendum berkenaan sejak sekian lama wajar dan amat bertepatan pada masanya dirungkaikan menerusi permohonan semakan kehakiman berkenaan.
Pemohon iaitu Najib wajar mendapat titik noktah keadilan menerusi permohonannya daripada isu ini dibiarkan berpanjangan malah semakan kehakiman berkenaan perlu disegerakan memandangkan isu materialnya bersangkut paut dengan titah Agong (terdahulu).
Justeru itu, rakyat juga perlu mendapat pengetahuan secara terbuka menerusi laporan media semasa sesi pendengaran dan keputusan kerana kes berkenaan berkepentingan umum.
Kesinambungan dari isu berkenaan segala tohmahan yang kononnya melibatkan soal derhaka terhadap Agong serta isu kandungan affidavit bersumpah oleh pihak ketiga harus dinilai kembali dari sudut tindakan serta kewajarannya setelah keputusan mahkamah dimuktamadkan kelak.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis Politik










