SAUDARA PENGARANG,
PADA masa kini, umat Islam masih lagi berpecah dan berselisih serta gagal mencari titik temu dalam mewujudkan perpaduan bersama. Tidak kira isu fundamental atau isu cabang, tiada persepakatan dalam kalangan mereka sama ada pada peringkat agamawan atau orang awam. Masing-masing ingin menjadi jaguh dengan pandangan tersendiri.
Segelintir daripada mereka pula dijangkiti sindrom palatao. Kononnya mereka serba tahu dan mampu untuk memberi pelbagai pandangan berkaitan agama. Sedangkan bagi orang yang menekuni bidang agama pun, mereka tidak berani atau semberono melakukan pengharmonian kerana ada disiplin ilmu yang perlu dikuasai.
Penghidap sindrom ini, hanya merujuk maklumat atas talian, membaca sendiri tanpa bimbingan guru, tidak berdasarkan pembelajaran dan pengajian bersama para guru dan tidak mengikut disiplin ilmu. Hasilnya maklumat yang difahami dan pandangan yang dikemukakan tidak selari dengan perbincangan para ulama setempat.
Sementara mereka dalam golongan sindrom logik beragama memberikan pandangan berdasarkan logik semata-mata dan melihat ulama silam. Sedangkan para ulama silam merupakan kelompok yang bijak pandai. Mereka telah memadukan antara sumber naqli (al-Quran dan al-Sunnah) dan juga sumber aqli (ijtihad). Mereka tidak bergantung kepada nas semata-mata tetapi memanfaatkan sumber akal dengan panduan metode yang sistematik.
Terdapat sebilangan masyarakat awam yang beragama pula berdasarkan intuisi dan gerak hati. Umpamanya, mereka menyambung berpuasa cukup 30 hari kerana merasakan tidak sempurna dengan 29 hari. Mereka ingin melihat sendiri dengan mata kasar anak bulan untuk meyakinkan sambutan hari raya dan sebagainya.
Golongan ghuraba pula mengamalkan sikap beragama secara keras, berpegang dengan pandangan yang pelik dan mengutarakan isu-isu hukum yang tiada keperluan untuk diwacanakan secara terbuka. Ia boleh menyebabkan keraguan dan menimbulkan keraguan (tasykik) orang ramai dalam beragama.
Terdapat segelintir orang Islam yang sukar menerima kritikan dan teguran untuk memperbetulkan salah faham. Mereka memberi pandangan yang menyeleweng dan salah tentang hukum Islam. Namun apabila ditegur, mereka melenting dan merasakan pandangan mereka paling sahih. Mereka enggan memperbaiki falasi dalam berhujah dan kekal dengan sindrom bebalisme serta penafian.
Bagi yang tergolong dalam sindrom sang hakim sentiasa merasa diri mereka cukup beragama hingga mempunyai lesen untuk memaki atau melabelkan saudara Islam mereka.
Sehubungan dengan itu, dalam beragama, umat Islam juga perlu berhati-hati dengan siapa ilmu diambil dan apa yang diamalkan. Hal ini disebabkan pada masa kini, terlalu banyak ajaran sesat dan salah yang berkembang biak dalam masyarakat Islam. Di samping itu, wujud golongan yang tidak pernah memondok tetapi membuka pondok dan menjadi tok guru.
Bahkan, ramai orang yang tidak mengaji dan mendalami agama tetapi menjadi ustaz dan ustazah, serta pendakwah. Selain itu, ramai juga orang yang berpenampilan seperti seorang agamawan, juga dianggap sebagai ulama oleh masyarakat. Akibatnya masyarakat Islam mudah tertipu.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya










