Teliti beban kos perubatan terhadap penjawat awam

Teliti beban kos perubatan terhadap penjawat awam

KOS rawatan perubatan dan pembedahan semakin meningkat selari kenaikan harga ubat. – UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENARIKAN semula subsidi dan pencen kerajaan kepada kakitangan dan pesara menunjukkan beberapa isu antaranya beban penyakit jantung dan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) termasuk darah tinggi, dan kencing manis, masalah penyakit sakit jantung pelbagai jenis seperti angina, lemah jantung, strok, sakit jantung mengejut, infarksi jantung dan arteriosclerosis iaitu penyempitan salur darah akibat plak lemak dan sebagainya adalah terkait beban sakit jantung.

Bilangan pakar pengamal perubatan yang bertauliah tidak mencukupi kerana ramai pakar jantung bertugas di swasta dan hospital universiti, malah ada yang keluar negara kerana pendapatan lebih tinggi.

Ini menyukarkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan, masa menunggu berjumpa pakar yang lama dan kemungkinan berjumpa perawat yang belum pakar lagi yang akhirnya menyebabkan kemungkinan kualiti jagaan menurun dan menyukarkan pesakit menerima jagaan sepatutnya.

Kos rawatan perubatan dan pembedahan yang semakin meningkat akibat inflasi, kenaikan harga ubat termasuk ubat ubatan jantung serta kos menyelenggara aset yang turut meningkat. Ini menyebabkan kos merawat pesakit jantung meningkat.

Ini amat menyedihkan memandangkan gaji kakitangan kerajaan tidaklah begitu tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan di pusat rawatan jantung swasta, ini menyebabkan ramai akan keciciran dan beralih ke rawatan tradisional dan hanya mendapatkan rawatan jika berlaku komplikasi teruk.

Ada juga tidak mempunyai insurans perubatan yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan di swasta. Ini akan menyebabkan ketidaksamaan kesihatan berlaku yang mana hanya orang mampu sahaja menerima rawatan jantung atau seumpama dengannya.

Bilangan kes dan jumlah beban kos merawat kes penyakit jantung dijangka akan terus meningkat. Maka kerajaan perlu memikirkan kos efektif untuk menghalang fenomena ini. Antara caranya ialah meningkatkan aktiviti, program promosi kesihatan dan gaya hidup sihat.

Kerjasama dengan NGO dan industri sangat diperlukan. Bajet tahunan untuk kesihatan primer dan kesihatan awam perlu diperkasa lagi, memandangkan bilangan kakitangan dan aset di klinik primer dan kesihatan awam adalah minimum dan mereka perlu melaksanakan berbagai program pada waktu yang sama.

Perlu latihan yang menyeluruh mengenai sakit jantung, cara mengesan dan merawat menggunakan teknik dan ubat terkini, diberi kepada kakitangan yang merawat kes-kes di klinik awam dan swasta. Ini membantu mengawal penyakit dari menjadi lebih teruk, berkomplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Cadangan lain termasuk perkongsian kos dengan hospital swasta atau klinik jantung dengan kos perubatan ditanggung pihak ketiga. Contohnya, ditanggung separa oleh syarikat farmaseutikal, majikan atau industri seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sebagainya.

Sekarang memang sudah ada tapi perlu cari rakan kongsi baharu untuk menampung kos. Kita juga perlu menggalakkan semua rakyat dewasa mempunyai insurans sendiri melalui bayaran insuran kelompok dan bayaran ini disimpan untuk kegunaan yang memerlukan.

Insurans sosial seperti ini sudah dilaksanakan di beberapa negara dan Malaysia juga akan mengikutinya dalam reformasi perubatan dan kesihatan yang akan datang. – UTUSAN

PROFESOR DR. SHARIFA EZAT WAN PUTEH
Pakar Kesihatan Komuniti UKM, Felo Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×