Subsidi bersasar langkah ekonomi mampan Malaysia

Subsidi bersasar langkah ekonomi mampan Malaysia

Sebarang peningkatan harga barang akan memberi kesan negatif terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA awal Januari lalu, pengguna telefon bimbit di Malaysia dikejutkan dengan penerimaan mesej berbentuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada Kementerian Ekonomi. Sebagai golongan belia yang cakna akan pembaharuan, saya pada awalnya berasa sangsi apabila diarahkan untuk mengemaskini maklumat peribadi dalam laman web Pangkalan Data Utama (PADU) boleh disalah tafsir sebagai salah satu bentuk penipuan atau scam secara dalam talian.

Mengikut rekod, keseluruhan subsidi yang bakal dikeluarkan pada tahun ini, termasuk elektrik, minyak dan makanan dianggarkan mencecah RM81 bilion. Pelancaran PADU pada 1 Januari lalu menjadi salah satu titik tolak Kementerian Ekonomi untuk beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar.

Era kini amat memerlukan pemberian subsidi melalui teknologi digital yang menjadi mekanisme yang paling sesuai, mudah dan terbaik bagi golongan muda. Namun, kita juga perlu mengambil kira golongan yang bakal menerima subsidi terdiri daripada warga emas yang kurang mahir dalam penggunaan telefon pintar. Mekanisme ini boleh menjadi jalan penyelesaian terbaik dalam jangka masa panjang, tetapi dalam tempoh jangka masa pendek, penggunaan kad adalah lebih praktikal.

Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil kira kebarangkalian kenaikan harga barangan di pasaran apabila subsidi bersasar dilaksanakan kelak. Para peniaga dijangka akan menaikkan harga barang kerana berlakunya peningkatan kos pengangkutan atau penghantaran dalam perniagaan. Dalam konteks ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bukan sahaja perlu memantau keadaan ini, tetapi bertanggungjawab untuk memberi penerangan yang jelas agar peniaga tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Sebarang peningkatan harga barang akan memberi kesan negatif terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.

Justeru, matlamat kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal negara antara 3 hingga 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025 tidak akan dicapai sekiranya tiada sebarang langkah berani yang dilakukan pada masa sekarang.

Terlalu banyak subsidi yang tidak memberi manfaat dalam jangka masa panjang akan merugikan kerajaan dan rakyat Malaysia. Maka itu, disiplin ekonomi baharu dengan membudayakan mentaliti tanpa subsidi secara beransur-ansur perlu dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia, seterusnya kecekapan dan kemampanan ekonomi Malaysia dapat dicapai demi kesejahteraan negara. – UTUSAN

Ariff Najmi
Kolej Yayasan UEM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN