SAUDARA PENGARANG,
SAYA menjunjung kasih Majlis Raja-Raja yang memperkenan membincangkan pelantikan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-265 pada 21 dan 22 Februari 2024.
Selepas Tan Sri Zainal Rahim Seman menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi SPA pada 24 Julai 2023, semua mesyuarat SPA yang melibatkan pelantikan, kenaikan pangkat, dan penamatan perkhidmatan penjawat awam terus berlangsung dengan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPA.
Namun bagi urusan pelantikan, kenaikan pangkat, dan kawalan tatatertib anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, Pengerusi SPA hendaklah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengadakan sekurang-kurangnya empat mesyuarat setahun.
Bagaimanapun, semenjak Julai 2023, Mesyuarat SPKP tidak dapat diadakan kerana ketiadaan Pengerusi SPA yang juga merangkap Pengerusi SPKP.
Anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan (pegawai undang-undang) dikategorikan dalam perkhidmatan kritikal dalam perkhidmatan awam. Ini kerana terdapat empat kriteria yang menjustifikasikan pegawai undang-undang ditetapkan sebagai perkhidmatan kritikal dan diberikan bayaran insentif. Antaranya, kedudukan persaingan dalam pasaran buruh bagi tenaga anggota terlatih yang diperlukan.
Pegawai undang-undang sebagaimana pegawai perubatan yang sentiasa ditawarkan gaji dan jawatan lebih lumayan di pasaran kerja. Kelewatan kenaikan pangkat merupakan faktor utama yang menyebabkan banyak pegawai undang-undang mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan atau bersara pilihan awal.
Malah kelewatan mengadakan mesyuarat SPKP turut menyebabkan banyak pegawai undang-undang yang tidak dapat mengesahkan jawatan hakiki kerana masih dalam tempoh jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) semasa bersara.
Sehubungan itu, kami meyakini bahawa Kerajaan Madani merupakan kerajaan yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap maklum balas oleh penjawat awam. Dalam hal ini, kami memohon pertimbangan supaya dapat menyegerakan pelantikan Pengerusi SPA bagi membolehkannya mempengerusikan Mesyuarat SPKP empat kali secara teratur. – UTUSAN
PEGAWAI UNDANG-UNDANG MENGHARAP
Putrajaya.










