Mustahil boleh terima lebih dari satu sumber pencen

Mustahil boleh terima lebih dari satu sumber pencen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terkejut bila dihebohkan ada bekas wakil rakyat menerima lebih satu jenis pencen.

Sebelum undang-undang pencen ahli pentadbiran dan wakil rakyat di bentangkan di Parlimen, saya sendiri dari Bahagian Pencen meminta agar draf undang-undang yang disediakan oleh Kementerian Kewangan yang dahulu dipinda di peringkat jawatankuasa dengan memasukkan syarat seseorang itu hanya layak menerima sejenis pencen sahaja iaitu pada nilai yang tertinggi. Tidak melebihi separuh daripada pendapatan tetap bulanan di jawatan tertinggi.

Saya masih ingat pindaan itu dibuat di peringkat Parlimen bersidang di peringkat jawatankuasa yang saya sendiri mendrafkan ucapannya selepas sahaja selesai bacaan pertama pembentangan undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat.

Saya masih ingat salah seorang yang telah membuat kiraan pencennya akan melebihi jumlah gajinya ketika itu menepuk dahi sebaik keluar dari pintu Dewan Rakyat. Saya tak mahu sebutkan namanya.

Hairan juga bagaimana ada berita pemimpin tertentu di peringkat negeri mendapat pencen lebih dari satu punca. Pihak Jabatan Audit patut menyemak perkara ini supaya tidak ada penyalahgunaan kuasa di peringkat mana sekalipun kerana salah faham.

Pihak yang menerima pencen patut membuat semakan dan mengambil tanggungjawab untuk membetulkan kedudukannya itu. Pastikan rezeki kita semuanya halal.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada mana-mana wakil rakyat yang mempunyai lebih dari satu pencen untuk menolak salah satu daripadanya jika mempunyai tanggungjawab moral untuk berbuat demikian.

Kata Anwar, tindakan menolak daripada menerima lebih daripada satu pencen sebenarnya akan membantu kerajaan menjimatkan kos perbelanjaan. – UTUSAN

DATUK SYED ALWI NORDIN
Bekas Timbalan Pengarah Bahagian Pencen

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN