SAUDARA PENGARANG,
SEMENJAK dibuka kira-kira 19 tahun, jemaah tidak pernah mendengar tentang mesyuarat agung untuk melantik ahli jawatankasa (AJK) baharu yang menjadi penggerak kepada program dan aktiviti-aktiviti yang hendak dilakukan oleh masjid.
Melainkan AJK lama dan kalau ada pun AJK baharu, tidak dilantik melalui mesyuarat agung seperti yang menjadi amalan biasa kebanyakan masjid ketika ini.
Sejak awal tahun ini kami ada mendengar bahawa pihak masjid hendak mengadakan mesyuarat tetapi hanya cakap-cakap kosong, sehingga kini tidak ada pun pemberitahuan dan kami tidak tahu macam mana AJK yang ada kini dilantik.
Banyak aktiviti masjid tidak dapat dilihat kecuali, ceramah-ceramah pada hari-hari tertentu dan mingguan sahaja. Pada hal banyak lagi aktiviti boleh dilakukan sekiranya ada musyawarah dan muzakarah melalui mesyuarat AJK.
Kami semua ada bercakap-cakap mahu mengetengahkan beberapa idea untuk penambahbaikan program dan aktiviti masjid, akhirnya terlepas begitu sahaja.
Kepada siapa yang hendak kami ajukan, kami bukan AJK dan kami tidak kenal siapa AJK dan sehingga aduan ini ditulis masih belum ada mesyuarat agung diadakan tetapi kalau ada majlis-majlis tertentu kami akan melihat ada pula AJK. Ini sesuatu yang menghairankan. Setahu kami untuk melantik AJK mesti ada pemakluman dan mesyuarat agung.
Kami melihat masjid ini tidak membangun dari segi fizikalnya. Apa masalahnya? Pada hal ia berpotensi boleh diperelokkan dan diperindahkan lagi. Kutipan sedekah daripada orang ramai banyak dan tidak pernah dinyatakan. Ini cukup meragukan kami.
Jangankan melalui mesyuarat tetapi tidak dipaparkan melalui e-skrin atau papan kenyataan. Papan kenyataan yang ada pun hanya satu, kosong. Ini kerja setiausaha yang kami tidak tahu siapa tetapi tidak pernah pun dipaparkan untuk makluman jemaah.
Pengumuman aktiviti (ceramah) elok dipaparkan terutama untuk faedah jemaah ahli kariah. Penceramah janganlah orang yang sama sahaja. Ini bukan kali pertama aduan dibuat.
Pengerusi masjid elok dilantik orang baharu. Pegawai agama wajar jadi penasihat bukan pengerusi.
AJK lama tidak berfungsi hanya atas kertas sahaja. Beri peluang orang lain pula berkhidmat. Adakan mesyuarat agung pilih AJK baharu, bukan AJK lama yang tepu seolah-olah berstatus tetap dan berpencen.
Kami harap masjid ini dapat dibangunkan lagi fizikalnya, diceriakan lagi aktiviti-aktivitinya, diperindahkan lagi landskap dan persekitarannya.
Karpet baharu, tidak dibersihkan sepenuhnya. Apakah tidak ada pekerja dan alat yang sesuai untuk membersihkannya?
Adakanlah mesyuarat agung dan lantiklah AJK baharu yang lebih bertenaga berpengalaman yang mahu bekerja secara sukarela dan berbakti sepanjang masa serta dapat memberi sumbangan untuk keselesaan semua.
Perbaikilah mana-mana bahagian masjid yang rosak, yang tidak elok dipandang mata dengan kualiti dan iltizam demi menjaga rumah Allah ini.
Contohilah masjid-masjid terbaik yang ada di sekitar. Sumbangan daripada orang ramai wajar digunakan kembali untuk kebaikan dan keselesaan para jemaah yang beriktikaf di masjid ini. – UTUSAN
GENG MASJID,
Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan










