PERADABAN Melayu berakar daripada kekayaan bahasa, kesusasteraan, falsafah, adat, kesenian, sistem nilai dan tradisi keilmuan yang mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai khazanah peradaban dunia pada hari ini dan masa depan.
Sekalung tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas pelancaran buku Dimensi Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, baru-baru ini.
KSBM merupakan kerangka bagi memperkukuh usaha mengembangkan bahasa kebangsaan di dalam negara dan antarabangsa.
Anwar menyatakan dalam konteks dunia yang saling terhubung serta dalam persekitaran global yang mempertemukan masyarakat dengan pelbagai bahasa dan budaya, kedudukan sesuatu bahasa itu bukanlah ditentukan oleh penuturnya sahaja tetapi juga keupayaan menjadi bahasa ilmu, diplomasi, pendidikan dan bahasa yang dapat digunakan merentas sempadan.
Ahli Dewan Negara merangkap Penyandang Kursi Raja-raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berkongsi dengan hadirin, historiografi bahasa Melayu yang unik merentas benua Timur hingga para orientalis Barat juga berpeluang meneroka tentang keistimewaan yang dimiliki bahasa itu.
Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa bermula sejak abad ke-7 Masihi lagi, iaitu sejak zaman Sriwijaya sehinggalah pada zaman kemuncak kesultanan Melayu pada sekitar abad ke-13 Masihi.
Perkembangan pesat khususnya di negara Tembok Besar yang kini mempunyai 16 hingga 17 universiti yang menawarkan pengajian bahasa Melayu membuktikan potensi besar yang dimiliki oleh bahasa ini.
Sementara Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari menggariskan lima tindakan strategik pelaksanaan KSBM yang akan mengupayakan prestasi bahasa rasmi negara ini dalam memacu impaknya bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Lima tindakan strategik tersebut ialah pembangunan kurikulum dan bahan pengajaran yang berpandukan standard, pembangunan profesional tenaga pengajar,pengukuhan penilaian penguasaan bahasa Melayu, pembinaan jaringan institusi antarabangsa serta pendigitalan sumber bahasa Melayu.
Bertepatan dengan era transformasi digital, DBP turut meraikan Hari Digital DBP 2026 yang dirasmikan Timbalan KetuaSetiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ikmalrudin Ishak.
Dalam majlis tersebut beliau turut melancarkan Rancangan Strategik DBP 2026-2030 yang mengandungi Pelan Komunikasi, Pelan Perniagaan, Pelan Pendigitalan, Pelan Pemerkasaan Bahasa dan Pelan Pengurusan Sumber Manusia.
Perkembangan pesat teknologi digital yang mencetuskan transformasi yang signifikan dalam lanskap kehidupan manusia, khususnya dalam aspek komunikasi, pendidikan, ekonomi, budaya dan hubungan sosial termasuklah dalam agenda mereformasi institusi.
Teknologi digital kini adalah nadi dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan awam dan juga dalam agenda pengukuhan bahasa Melayu di dalam negara mahupun sehingga ke peringkat antarabangsa.
Era digital bukan sahaja mempercepatkan proses penyebaran dan pertukaran maklumat, malah turut mempengaruhi corak interaksi, pemikiran serta pembentukan identiti individu dan kolektif dalam masyarakat khususnya berkaitan bahasa.
Seiring dengan perkembangan tersebut menjelaskan kemunculan media sosial, kecerdasan buatan (AI), platform komunikasi digital dan jaringan global mewujudkan suatu ekosistem kehidupan yang semakin melangkaui sempadan geografi dan fizikal.
Fenomena ini membuka ruang kepada peluasan jaringan ilmu, komunikasi rentas budaya dan kerjasama antarabangsa, namun pada masa sama turut menimbulkan cabaran terhadap kelestarian bahasa, nilai, norma dan identiti sesebuahbangsa.
Oleh yang demikian, dalam konteks peradaban Melayu, transformasi digital perlu dilihat sebagai anjakan penting yang berpotensi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu, memperluas pengaruh budaya serta mengangkat warisan intelektual dan ketamadunan Melayu ke persadaantarabangsa.
Ketekalan DBP sebagai badan berautoriti dalam membina dan mengembangkan bahasa terus sahaja menjadi inspirasi pihak berkaitan dalam perjuangan memartabatkan bahasa.
KARYA P. RAMLEE MENYATUKAN MASYARAKAT
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia bersama-sama dengan rakan strategik dari ASEAN menganjurkan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) dan Malam Puisi Mengukir Bangsa (MPMB) 2026, mengangkat tema ‘Peradaban Melayu Mewajah Dunia’.
Dalam majlis tersebut, legenda seni tanah air, Allahyarham Tan Sri Amar Dr. Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, atau lebih dikenali Tan Sri P. Ramlee, diberikan pengiktirafan menerusi Anugerah Tokoh Mengukir Bangsa 2026 bagi Kategori Seni dan Peradaban.
Pengiktirafan ini merupakan penghargaan terhadap sumbangan optimum beliau dalam memperkaya khazanah seni, bahasa, budaya dan peradaban Melayu melalui bidang perfileman, muzik, lakonan sertapenciptaan karya kreatif.
Karya beliau bukan sahaja menjadi lambang kegemilangan industri seni tanah air, malah turun merentas sempadan generasi, budaya dan geografi serta memainkan peranan penting dalam membentuk identiti dan jati diri masyarakat Malaysia khususnya dalam mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini.
Oleh itu, gagasan ‘Peradaban Melayu Mewajah Dunia’ bukan sekadar mencerminkan usaha memelihara warisan sejarah dan budaya tetapi turut membawa aspirasi untuk menjadikan bahasa, ilmu dan pemikiran Melayu sebagai wahana komunikasi, diplomasi budaya serta pembangunan peradaban yang relevan dalam era global.
Bahasa Melayu, khususnya, mempunyai kedudukan yang signifikan sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan medium penyebaran nilai peradaban.
Gandingan antara institusi kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan amat dialu-alukan dalam menyemarakkan lagi semangat cintakan bahasa kebangsaan dan usaha mengapreasiasi karya-karya unggul dalam bahasa Melayu ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Keistimewaan karya P. Ramlee contohnya terletak pada keupayaannya mengangkat akal budi bahasa Melayu, nilai kemanusiaan, perpaduan, kasih sayang, keadilan sosial dan kebijaksanaan masyarakat melalui pendekatan seni yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Filem dan lagu ciptaan beliau menjadi medium komunikasi budaya yang berkesan dalam menyampaikan mesej sosial, memperkukuh penggunaan bahasa Melayu serta membina persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta mempunyai nilai sejagat.
Justeru, penganugerahan ini bukan sekadar mengenangjasa seorang seniman agung tetapi merupakan manifestasi penghargaan terhadap peranan seni sebagai jambatan perpaduan, pembinaan negara bangsa dan pengantarabangsaan peradaban Melayu.
Seni mampu merentas zaman, bahasa menyatukan bangsa dan budaya menjadi jambatan yang membawa peradaban Melayu mewajah dunia. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Sosiologi (Bahasa, Komunikasi Strategik dan Media), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Fellow Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBKL).










