Satukan agenda alam sekitar sepanjang November

Satukan agenda alam sekitar sepanjang November

KERAJAAN perlu memanfaatkan bulan November untuk meningkatkan kesedaran rakyat, melindungi hutan dan hidupan liar serta memelihara sumber alam demi kesejahteraan generasi akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAUH manakah Belanjawan 2027 negara benar-benar menghargai alam semula jadi yang menjadi asas kepada semua bentuk pembangunan negara? 

Udara bersih, air minuman yang selamat, hutan terpelihara, laut yang produktif serta kepelbagaian hidupan liar bukanlah khazanah alam yang kekal selama-lamanya.  Semuanya memerlukan perlindungan, kefahaman dan pelaburan yang berterusan. 

Dalam konteks inilah November perlu dilihat dari perspektif yang lebih besar, berpotensi menjadi bulan yang menyatukan pelbagai agenda alam sekitar di bawah satu identiti nasional yang lebih tersusun dan berpengaruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apabila berbicara tentang sambutan berkaitan alam sekitar, masyarakat lebih mengenali Hari Bumi pada 22 April, Hari Alam Sekitar Sedunia (5 Jun) dan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) (21 Oktober). Namun tidak ramai menyedari November sebenarnya menghimpunkan beberapa sambutan penting merangkumi hampir keseluruhan spektrum pemuliharaan alam semula jadi. 

Hari-hari penting melibatkan ekologi, hutan, kepelbagaian biologi, kitar semula, sumber perikanan, keamanan alam sekitar dan kepupusan spesies. Gabungan tema-tema ini menjadikan November bulan yang paling lengkap untuk membina kesedaran awam mengenai hubungan manusia dengan alam.

Sambutan bermula dengan Hari Ekologi Sedunia pada 1 November, yang mengingatkan kita setiap hidupan di bumi saling berkait dalam satu sistem yang kompleks dan seimbang. 

Ekologi adalah ilmu pengetahuan yang menjelaskan mengapa banjir menjadi semakin buruk apabila hutan dimusnahkan, mengapa sumber air terjejas apabila kawasan tadahan diganggu dan mengapa kepupusan satu spesies boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem. 

Dalam era perubahan iklim dan krisis kepelbagaian biologi, pemahaman tentang ekologi perlu menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat dan bukan hanya wacana akademik.

Pada 6 November pula, dunia memperingati Hari Antarabangsa Pencegahan Eksploitasi Alam Sekitar dalam Peperangan dan Konflik Bersenjata yang kesannya amat besar terhadap alam global. 

Sejarah Perang Teluk, misalnya, menjejaskan ekosistem marin dan populasi burung migrasi untuk tempoh yang panjang. Hari ini mengingatkan keamanan dan kelestarian alam sekitar tidak boleh dipisahkan kerana alam sering menjadi mangsa senyap dalam setiap konflik manusia.

Malaysia pula menyambut Hari Enggang Kebangsaan pada 10 November, satu sambutan yang sepatutnya diberikan perhatian lebih besar. Burung enggang digelar ‘petani hutan’ kerana peranannya menyebarkan biji benih ke kawasan yang luas, sekali gus membantu proses penjanaan semula hutan. Malaysia mempunyai 10 spesies burung enggang yang unik di dunia.

Kehadiran enggang menjadi petunjuk kepada kesihatan ekosistem hutan tropika. Kehilangannya pula memberi amaran bahawa keseimbangan alam sedang terganggu. 

Dalam keadaan negara terus berhadapan dengan pemecahan habitat dan tekanan pembangunan, Hari Enggang Kebangsaan perlu dijadikan simbol komitmen negara terhadap pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi.

Hari Kitar Semula Kebangsaan pada 11 November membawa mesej yang amat dekat dengan kehidupan rakyat. Sambutan yang dipelopori oleh SWCorp Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini menggalakkan amalan 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula. 

Walaupun pelbagai kempen dilaksanakan, pencemaran plastik masih menjadi cabaran utama. Plastik yang dibuang secara tidak bertanggungjawab akhirnya memasuki sungai dan lautan sebelum bertukar menjadi mikroplastik yang memasuki rantaian makanan manusia. Apa yang dibuang hari ini akhirnya kembali kepada manusia dalam bentuk yang lebih berbahaya. 

Pada 21 November, dunia menyambut Hari Perikanan Sedunia, satu tarikh yang amat relevan bagi Malaysia sebagai negara maritim. Laut membekalkan sumber makanan, peluang pekerjaan dan pendapatan kepada jutaan rakyat. Ancaman seperti pencemaran, eksploitasi berlebihan sumber perikanan, kemusnahan habitat pesisir dan perubahan iklim semakin memberi tekanan kepada ekosistem marin. 

Sambutan ini sangat strategik dan berkait rapat dengan masa depan kesejahteraan rakyat dan keselamatan makanan negara.

Hari Mengenang Spesies Yang Hilang pada 30 November mengajak masyarakat menilai kehilangan spesies haiwan atau tumbuhan. Malaysia kehilangan badak Sumatera di habitat asalnya, manakala Harimau Malaya, orang utan, siamang, tapir Malaya dan penyu belimbing masih berdepan ancaman serius. 

Kepupusan bukan sekadar kehilangan spesies tertentu, tetapi kehilangan sebahagian sejarah alam. Apabila satu spesies hilang, kita turut kehilangan fungsi ekologi dan warisan semula jadi yang tidak mungkin dapat diganti.

Apabila semua sambutan ini dilihat secara menyeluruh, jelas November menghimpunkan naratif alam semula jadi yang lengkap. Ia merangkumi ilmu ekologi, keamanan alam sekitar, pemuliharaan hutan, pengurangan pencemaran, kelestarian sumber marin dan perlindungan kepelbagaian biologi. Sambutan perlu bergerak secara sistematik agar dapatmenyatukan mesejnya kepada rakyat.

Justeru, kerajaan wajar mempertimbangkan pengisytiharan Bulan Alam Semula Jadi Negara atau Bulan Ekologi Malaysia dengan peruntukan khas untuk program pendidikan, sains warga, inventori kepelbagaian biologi, pemulihan habitat, kempen kitar semula dan aktiviti kesedaran komuniti. 

Pada masa sama, pengiktirafan rasmi Hari Ekologi Malaysia juga perlu dipertimbangkan selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara mega-biodiversiti.

Hakikatnya, pelaburan paling berharga untuk masa depan bukan sekadar membina jalan raya, pembangunan ekonomi, bangunan atau infrastruktur baharu. Pelaburan sebenar ialah membina rakyat yang memahami nilai alam semula jadi dan sanggup mempertahankannya. -UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini