Balai Seni Negara tampilkan arca unik daripada 300 kilogram sabut kelapa

Balai Seni Negara tampilkan arca unik daripada 300 kilogram sabut kelapa

Azam Aris bergambar bersama karyanya, Tumbuh menerusi Pameran Hanya Satu Siri Ke-13 di Balai Seni Negara, baru-baru ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 300 kilogram sabut kelapa digunakan sebagai bahan utama bagi menghasilkan sebuah arca instalasi berskala besar setinggi 15 kaki menerusi karya Tumbuh hasil kolaborasi dua seniman, Azam Aris dan Yuki Mun.

Karya berkenaan dipamerkan menerusi Pameran Hanya Satu (Single) siri ke-13 anjuran Balai Seni Negara.

Azam berkata, instalasi yang menggunakan bahan organik seperti sabut dan tempurung kelapa serta jerami padi itu diolah daripada objek biasa kepada sebuah struktur visual yang mencabar sifat ruang galeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, projek berkenaan bertujuan memberikan pengalaman estetik kepada pengunjung selain membawa mereka meneroka dimensi baharu melalui pertembungan antara bahan semula jadi dengan ruang pameran.

“Sebagai artis visual, kami cuba mencipta bentuk yang aneh dan seolah-olah bersifat fantasi, iaitu sesuatu yang tidak sepatutnya berada di dalam ruang galeri.

“Kami mahu pengunjung merasai sendiri tekstur bahan semula jadi seperti sabut kelapa, jerami, tali sabut dan tandan kelapa yang diolah menjadi satu bentuk asing daripada kebiasaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas pemilihan sabut kelapa sebagai bahan utama, Azam menjelaskan bahan berkenaan membawa simbolik kepada konsep sempadan dan misteri alam.

Katanya, meskipun sabut kelapa sering dianggap sebagai bahan komoditi biasa namun pengolahannya menerusi karya seni itu mengangkat bahan berkenaan ke tahap berbeza dalam meneroka batas antara alam semula jadi dengan ruang pameran buatan manusia.

Namun, penghasilan arca yang menggunakan 100 peratus bahan organik itu menuntut ketelitian tinggi, khususnya dalam mematuhi syarat Balai Seni Negara yang ketat.

Jelasnya, cabaran terbesar adalah memastikan semua bahan organik bebas daripada serangga perosak dan kulat yang berpotensi mengancam koleksi seni lain di dalam galeri.

“Balai Seni Negara mempunyai kemudahan Art Hospital dan koleksi yang sangat bernilai. Oleh itu, mereka tidak boleh berkompromi jika terdapat serangga yang keluar daripada karya kami.

“Pada peringkat awal, proses fumigasi menggunakan racun kimia menimbulkan masalah bau yang boleh menjejaskan keselesaan pengunjung.

“Oleh itu, kami beralih kepada penggunaan racun organik berasaskan air (water-based) yang lebih selamat untuk persekitaran galeri, namun masih berkesan dalam memelihara bahan berkenaan,” katanya.

Selain aspek penjagaan bahan, pencarian bahan mentah berkualiti tinggi turut menjadi cabaran kepada pasukan produksi.

Menurut Azam, bagi memastikan sabut kelapa tidak rosak akibat pendedahan kepada cuaca panas dan hujan, pihaknya mendapatkan bekalan khas dari Perlis yang dibungkus dengan rapi.

Katanya, keseluruhan projek mengambil masa kira-kira tiga bulan, merangkumi proses lakaran idea bersama kurator, pencarian bahan mentah serta pembinaan arca.

Mengenai proses pembinaan karya berkenaan, beliau berkata, pihaknya mendapat bantuan daripada 10 tenaga kerja mahir (fabricator) di sebuah kilang di Gombak.

“Kerangka besi dibina terlebih dahulu sebelum sabut kelapa dan jerami diikat satu demi satu menggunakan dawai.

“Setiap bahagian kemudiannya dikemaskan secara manual sebelum dibawa ke galeri untuk proses pemasangan akhir,” ujarnya.

Mengulas ketahanan karya yang bersifat sementara dan berpotensi mereput, Azam menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada eksperimentasi seni yang wajar diraikan.

Beliau berharap keberanian menggunakan bahan organik yang luar biasa menerusi karya berkenaan dapat menarik minat generasi muda yang kini lebih cenderung kepada seni digital untuk kembali menghargai keindahan keunikan seni arca fizikal.

Sementara itu, Kurator bagi Pameran Hanya Satu (Single) Muhammad Harridz Ridzwan memaklumkan Balai Seni Negara komited menyokong bakat tempatan dengan membuka peluang kepada golongan seniman muda untuk mempamerkan karya tunggal berkonsepkan seni kontemporari di ruang lobi premis berkenaan.

Katanya, pameran karya tunggal ini tampil berbeza berbanding pameran konvensional yang lazimnya diadakan di dalam ruang galeri khusus serta hanya memfokuskan kepada seni moden seperti lukisan berbingkai.

Katanya, pemilihan ruang lobi menjadikan pameran tersebut lebih dominan dengan idea-idea baharu yang unik dan bersifat artistik.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini