BALAI Seni Negara kembali memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026 di reruai no. 403, S4 – Dewan Tun Hussein Onn (THO), Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Penyertaan Balai Seni Negara adalah sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh keberadaan institusi seni visual negara di platform berskala antarabangsa.
Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai bahan terbitan Balai Seni Negara seperti buku seni visual sepanjang tempoh penganjuran PBAKL 2026.
Pelbagai produk cenderamata turut dibawakan kepada pengunjung dan banyak lagi. Selain jualan bahan terbitan dan produk cenderamata, pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan antaranya lakaran, aktiviti melukis dan demonstrasi kaligrafi yang dikendalikan oleh artis dan penggiat seni tempatan.
Aktiviti ini terbuka kepada pengunjung sepanjang program berlangsung.
Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi Temu & Ramah bersama pelukis Fauzan Omar dan Amron Omar pada 6 Jun 2026, sambil mendapatkan tandatangan mereka sempena promosi keluaran setem khas Koleksi Khazanah Seni Visual Negara Siri 3.
Bagi memeriahkan pengisian program, Balai Seni Negara turut membawakan perkongsian ilmu dalam acara Lepak Kartun: Dari Sosiobudaya ke Budaya Kecerdasan Buatan (AI) di Pentas Utama PBAKL pada 7 Jun 2026 yang menampilkan Dr. Muliyadi Mahamood, Zulkiflee Anwar (Zunar) dan Dr. Noorhazalen Saad (Leen Mafea).
Aktiviti ini bakal menghimpunkan peminat seni kartun dan ilustrasi tempatan untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam industri kreatif tanah air.
Sejak penyertaan pertama pada 2008, Balai Seni Negara memanfaatkan platform PBAKL sebagai medium memperluas capaian masyarakat terhadap seni visual dan memperkukuh budaya ilmu serta memperkenalkan penerbitan seni tempatan kepada khalayak yang lebih luas.
Justeru, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan reruai Balai Seni Negara dan menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan, di samping merebut peluang mendapatkan buku seni dan cenderamata eksklusif dengan harga istimewa.
Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara. – UTUSAN
BALAI SENI NEGARA










