KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) melancarkan Fasa Ketiga Projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI bagi meneruskan usaha memperkukuh budaya ilmu, pembangunan karya tempatan dan akses rakyat kepada bahan bacaan berkualiti selaras dengan aspirasi MALAYSIA MADANI.
Majlis pelancaran projek itu dihadiri Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI merangkap Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, Mohd Khair Ngadiron.
Dr Mohamad Saleeh Rahaad berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan khususnya Kementerian Kewangan atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sastera, budaya membaca, bahasa Melayu dan industri penerbitan tempatan.
“Sejak diperkenalkan pada 2024, projek tersebut berjaya menerbitkan lebih 128 judul buku membabitkan lebih 150 penulis tempatan selain menggerakkan pengedaran bahan bacaan ke 2292 sekolah menengah, 20 universiti awam dan perpustakaan desa di seluruh negara.
“Bagi Fasa Ketiga, PENA membuka peluang kepada penulis Malaysia menghantar manuskrip lengkap berkualiti tinggi dalam pelbagai genre.
“Antaranya adalah novel, cerpen, puisi, drama pentas, buku umum, biografi, memoir, travelog dan buku bergambar kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar sempena PBAKL 2026 di ibu negara hari ini.
Beliau berkata, manuskrip yang terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah bagi setiap judul serta ditawarkan bayaran royalti secara pendahuluan.
Dr. Mohamad Saleeh berkata, projek tersebut bukan sekadar program penerbitan buku, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh budaya ilmu, memperkasa bahasa Melayu dan melahirkan lebih banyak karya tempatan berkualiti yang mampu membina pemikiran masyarakat serta memperkaya peradaban negara.
“Manuskrip yang berjaya dipilih akan melalui proses penilaian oleh pakar, editorial, reka bentuk dan penerbitan secara sistematik dalam tempoh enam bulan daripada tarikh penerimaan manuskrip lengkap,” katanya.
Menurut beliau, penghantaran manuskrip dibuka bermula 2 Jun hingga 31 Disember ini menerusi platform digital bukupena.com.my.
Katanya, platform tersebut dibangunkan bagi memperkemas proses penerimaan manuskrip, semakan editorial dan pengurusan penerbitan secara lebih profesional serta mesra penulis.
“Antara syarat utama penghantaran manuskrip adalah karya perlu ditulis dalam bahasa Melayu, merupakan hasil asli penulis, ditaip mengikut format standard penerbitan serta mematuhi Tatabahasa Dewan dan Gaya Dewan Edisi Keempat.
“Manuskrip novel perlu disertakan sinopsis manakala kumpulan cerpen, puisi, drama atau esei perlu mempunyai prakata,” katanya.
PENA berharap lebih ramai penulis, sasterawan, ahli akademik, mahasiswa dan pengkarya tempatan tampil menghantar manuskrip berkualiti tinggi menerusi Projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI.
“Usaha itu dilihat mampu memperkukuh pembangunan persuratan, budaya ilmu dan ekosistem penerbitan negara secara berterusan,” katanya. – UTUSAN










