PETALING JAYA: Empat buah lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB akan dipamerkan kepada umum setelah semua proses undang-undang selesai.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, empat lukisan itu akan dijadikan bahan sejarah kerana ia simbolik kepada ketegasan negara dalam menentang ketirisan aset melalui amalan rasuah.
Katanya, rampasan lukisan itu merupakan kejayaan penguatkuasaan selain membuktikan usaha berterusan SPRM dalam membanteras jenayah kewangan berskala besar.
“Meskipun proses perundangan dan keputusan mahkamah bagi tujuan perlucutan hak masih berjalan, keutamaan SPRM kini adalah memastikan keselamatan dan keadaan fizikal barang kes tersebut kekal terpelihara tanpa sebarang kerosakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Amerrudin Ahmad di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Amerrudin berkata, Balai Seni Negara bersedia untuk memberikan khidmat kepakaran melalui fasiliti khusus kerana karya seni itu mempunyai sifat sensitiviti tinggi.
Katanya, penempatan di ruangan biasa berisiko akan menjejaskan nilai estetika serta nilai pasaran karya.
“Sehubungan itu, penggunaan bilik kebal dengan kawalan suhu dan kelembapan di Balai Seni Negara dilihat sebagai langkah mitigasi terbaik sebelum dipamerkan kepada umum,” jelasnya. – UTUSAN










