DEEPAVALI sering disebut sebagai Pesta Cahaya. Bagi penganut Hindu, cahaya bukan sekadar pelita yang menerangi rumah atau lampu yang menghiasi halaman. Sebaliknya, cahaya ada makna simbolik yang berkaitan dengan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, pengetahuan menghapuskan kejahilan dan harapan menundukkan kegelapan.
Malah, makna Deepavali tidak terhenti pada simbol cahaya. Cara perayaan ini disambut juga memperlihatkan kepelbagaian tradisi dalam kalangan diaspora India di Malaysia.
Nama Deepavali berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu dipavali yang membawa maksud rangkaian pelita. Perkataan ini terbentuk daripada dipa (pelita atau cahaya) dan avali (barisan atau rangkaian).
Oleh itu, gambaran pelita yang dinyalakan berderet-deret menjadi lambang yang sesuai untuk perayaan ini.
Di Ayodhya, Uttar Pradesh, India, sebanyak 2,617,615 pelita minyak dipasang pada malam menjelang Deepavali pada Oktober 2025. Pencapaian itu memecahkan rekod dunia Guinness bagi paparan pelita minyak terbesar.
Peristiwa ini memperlihatkan bagaimana tradisi menyalakan pelita terus menjadi sebahagian daripada sambutan Deepavali, selain menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
Deepavali turut dimasukkan dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 10 Disember 2025.
Di Malaysia, Deepavali lazimnya disambut selama sehari kerana cuti umum persekutuan diperuntukkan untuk satu hari sahaja. Sarawak pula tidak mewartakan Deepavali sebagai cuti umum.
Keadaan ini menyebabkan sambutan Deepavali di Malaysia sering tertumpu pada hari utama, dengan persiapan seperti membersihkan rumah, menyediakan makanan, memakai pakaian baharu, mengunjungi sanak saudara dan menerima tetamu.
Namun begitu, tempoh cuti tidak semestinya menggambarkan keseluruhan tradisi perayaan. Sambutan Deepavali di Malaysia sudah berkembang serta mengalami perubahan mengikut keadaan sosial, pekerjaan, pendidikan dan kehidupan masyarakat tempatan.
Amalan yang dilakukan oleh sesebuah keluarga mungkin berbeza daripada keluarga lain walaupun mereka berkongsi latar agama atau keturunan yang sama.
Malah, cara orang Tamil, Telugu dan Bengali meraikan Deepavali adalah berbeza.
Di negara India sendiri Deepavali atau Diwali tidak disambut dengan cara yang seragam. Tradisi berbeza mengikut negeri, wilayah, komuniti dan aliran keagamaan.
Sesetengah masyarakat menekankan pemujaan Lakshmi, dewi yang dikaitkan dengan kemakmuran. Ada pula komuniti memberikan perhatian kepada kisah Krishna menewaskan Narakasura, sementara etnik lain menghubungkan perayaan ini dengan kisah dan kepercayaan yang berbeza.
Sejak 1990-an, saya menulis pelbagai rencana di akhbar, majalah dan portal dalam talian untuk membicarakan pelbagai topik berkaitan sejarah, mitos, sambutan dan tradisi perayaan Deepavali.
Dalam rencana ini, saya tidak mengulang hal-hal yang sudah sedia diketahui umum atau sudah banyak ditulis.
Secara tradisional, sambutan Deepavali berlangsung selama lima hari. Hari pertama dikenali sebagai Dhanteras yang dikaitkan dengan kemakmuran dan pembelian barangan berharga.
Pada hari inilah kerja-kerja membersihkan rumah dilakukan secara intensif dan pelita mula dipasang.
Yama Deepam juga diamalkan oleh sesetengah komuniti dengan pelita dinyalakan sebagai sebahagian daripada tradisi keagamaan. Ia bertujuan mengelakkan sebarang malapetaka sepanjang musim Deepavali.
Hari kedua merangkumi Naraka Chaturdashi yang turut dikenali sebagai Chhoti Diwali (Deepavali Kecil) dalam sesetengah tradisi di negara India.
Dalam mitos, pada hari inilah raksasa Narakasura berjaya dibunuh. Manakala Hanuman Puja diamalkan oleh komuniti di Gujarat secara kecil-kecilan. Walaupun semua amalan ini dikaitkan dengan tempoh perayaan yang sama, namuntidak semua keluarga atau wilayah melaksanakan kesemuanya.
Hari ketiga lazimnya menjadi hari utama sambutan Deepavali bagi kebanyakan komuniti India. Lakshmi Puja dilakukan untuk memohon kesejahteraan dan kemakmuran. Sayangnya, ia semakin jarang diamalkan di Malaysia.
Di beberapa tempat seluruh dunia, khususnya dalam tradisi orang Bengali, Kali Puja menjadi acara penting dan wajib. Ini juga acara penting bagi komuniti Bengali di Malaysia.
Segala perbezaan corak sambutan Deepavali ini memperlihatkan bagaimana satu perayaan boleh mempunyai pusat keagamaan yang berlainan mengikut komuniti.
Hari keempat pula dikaitkan dengan sambutan Annakut, Govardhan Puja dan Balipratipada di wilayah berbeza di negara India.
Amalan serta kisah yang mendasarinya berbeza mengikut tradisi serta amat jarang diamalkan di negara kita.
Hari kelima dikenali sebagai Bhai Duj dalam beberapa komuniti di negara India dengan penekanan pada hubungan antara adik-beradik. Ia dikaitkan dengan kisah Subhadra menyambut kepulangan Krishna selepas membunuh Narakasura.
Vishwakarma Puja pula diamalkan oleh komuniti tertentu, khususnya yang mengaitkan penghormatan terhadap Vishwakarma dengan pekerjaan, kemahiran dan pertukangan. Dalam mitos Hindu, Vishwakarma ialah arkitek bagi dewa-dewi di kayangan.
Senarai di atas bukan jadual wajib yang perlu dipatuhi oleh semua penganut Hindu. Ada komuniti yang menumpukan perhatian pada hari tertentu sahaja, manakala komuniti lain mungkin mengikuti rangkaian upacara lebih panjang.
Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia wajar mengenali secara umum kepelbagaian perayaan Deepavali, termasuk variasi sambutan oleh komuniti Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi, Bengali dan sebagainya.
Sambutan Deepavali selama lima hari yang dihuraikan di sini bukan bermaksud umat Hindu di Malaysia perlu mengubah cara sambutan yang diamalkan sekarang. Sebaliknya, maklumat ini bertujuan menambah ilmu serta mengingatkan kita hakikat kaum India bukan berciri homogen.
BUKAN SEMATA-MATA PELITA
Cahaya Deepavali bukan hanya terdapat pada pelita yang dinyalakan. Cahaya itu juga boleh hadir melalui kesediaan kita mengenali tradisi orang lain, memahami perbezaan dan menghormati warisan merentas generasi.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan adat seperti Malaysia, pengetahuan tentang kepelbagaian budaya mampu menjadi cahaya yang membantu kita melihat sesama manusia dengan lebih jelas dan tanpa prejudis. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan)










