Deschamps bakal kemudi Man. United?

Deschamps bakal kemudi Man. United?

DIDIER Deschamps. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Bekas pengendali Perancis, Didier Deschamps dilaporkan bakal menjadi pengurus baharu Manchester United bagi menggantikan Michael Carrick.

Menurut laporan media Britain, pengurusan The Reds Devils sudah menghubungi Deschamps untuk membincangkan syarat-syarat awal untuk membawa jurulatih berkaliber itu ke Old Trafford.

Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dikatakan mula mempertimbangkan Deschamps susulan prestasi tidak konsisten pasukan dibawah kendalian Carrick.

Memuatkan artikel berkaitan…

Biarpun melakar kemenangan ke atas Roma dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) memberi sedikit kelegaan kepada Carrick, ia belum menjamin kedudukan bekas perancangan tengah United itu.

Deschamps bukan nama asing dalam dunia kejurulatihan apabila menghabiskan 14 tahun mengendalikan skuad kebangsaan Perancis dan membantu negara itu menjulang gelaran Piala Dunia 2018.

Sebelum mengemudi Les Bleus, beliau turut mencipta reputasi cemerlang di peringkat kelab bersama Monaco, Juventus dan Marseille.

Beliau membantu Juventus kembali ke Serie A selepas kelab itu dihukum turun ke Serie B susulan skandal mengatur perlawanan, selain membawa Marseille menjuarai Ligue 1 dan membimbing Monaco ke final Liga Juara-Juara sebelum tewas kepada Porto kendalian Jose Mourinho.

Deschamps juga mempunyai sedikit pengalaman dalam persekitaran bola sepak England selepas pernah menyarung jersi Chelsea selama semusim pada penghujung kariernya sebagai pemain, iaitu pada 1999 hingga 2000.

Selepas meninggalkan jawatan pengendali Perancis, beliau dilaporkan berminat dengan peluang mengendalikan Real Madrid, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila Mourinho kembali menerajui kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Bagaimanapun, laporan media Perancis menyebut Deschamps tidak tergesa-gesa untuk kembali bekerja dan bersikap terbuka terhadap peluang seterusnya dalam karier kejurulatihannya.

Dalam perkembangan berkaitan, United sebelum ini turut meneliti kemungkinan berpisah dengan Carrick, namun keputusan itu ditangguhkan kerana belum ada calon pengganti yang benar-benar sesuai untuk mengambil alih tugas berkenaan.

Beberapa nama seperti Antonio Conte, Eddie Howe dan Julian Nagelsmann turut dipertimbangkan, namun pihak pengurusan United dilaporkan belum benar-benar yakin dengan pilihan yang tersedia.

United juga dikatakan tidak pernah mengemukakan tawaran rasmi kepada Conte, manakala Howe sudah melakukan penelitian awal berhubung kemungkinan menerima tawaran daripada kelab berkenaan.

Pengarah perekrutan United, Christopher Vivell pula dilaporkan memainkan peranan penting mencadangkan Nagelsmann, hasil hubungan kerja mereka sebelum ini dalam kumpulan Red Bull.

Sementara itu, peluang mendapatkan khidmat Fabian Hurzeler dan Unai Emery dilihat semakin tipis berikutan kos pampasan tinggi yang perlu dibayar kepada Brighton dan Aston Villa sekiranya United mahu membawa keluar kedua-dua pengendali itu.- AGENSI

KAPSYEN

DIDIER DESCHAMPS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini