Naratif politik dalam ekonomi

Naratif politik dalam ekonomi

SATU aspek ekonomi politik negara kita yang sentiasa tidak boleh diabaikan atau diremehkan ialah isu perbezaan ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI sebuah negara yang masih muda, Malaysia adalah negara unggul atau unik atas beberapa sebab. Keunikannya berpunca dari sejarahnya, kepelbagaian suku kaumnya, bahasanya, agama dan adat budaya.

Sejarahnya juga menentukan bagaimana ia diurus dan diperintah sebagai sebuah negara berbentuk Persekutuan dan mempunyai sistem beraja dan pemerintahan secara demokrasi berparlimen.

Justeru, memerintah Malaysia bukannya satu hal yang mudah, dan ini kelihatan dari timbulnya perubahan kerajaan sejak pilihan raya pada tahun 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemerintahan secara ‘kerajaan muhibah’ masa ini juga menunjukkan antara cabaran-cabaran yang dihadapi dari aspek tatakelola politik semasa.

Malaysia, dari itu, mempunyai sistem political economy tersendiri yang wajar difahami dan dihayati oleh bakal pemimpin yang ingin menjadi pemimpin politik dan sosial negara kita ini.

Setidak-tidaknya mereka perlu setuju bahawa kepimpinan negara ini mesti berteraskan kepada hasrat unity in diversity atau perpaduan dalam kepelbagaian.

Tidak mungkin ada kompromi dalam kepentingan dan hasrat perpaduan dalam kepelbagaian ini, dalam memerintah dan mengurus hal ehwal politik, sosial, dan ekonomi negara.

Perspektif ini akan seterusnya menjadi landasan kepada generasi muda bagi memahami bagaimana negara kita diurus dan diperintah selama ini hingga mencapai kemajuan yang agak ketara.

Ini disebabkan kepentingan demikian telah mewujudkan kestabilan politik dan sosial yang menjadi tarikan kepada pelaburan asing dan perkembangan perniagaan.

Kedudukan pencapaian makroekonomi kita semasa adalah bukti kepada kestabilan ini.

Selain daripada menghayati kepentingan perpaduan dalam kepelbagaian itu, kita jangan lupa negara kita adalah jenis Persekutuan yang merupakan penggabungan beberapa negeri untuk kepentingan bersama, pertama pada tahun 1957 dan keduanya pada tahun 1963 apabila Malaysia ditubuhkan.

Sebagai sebuah sistem Persekutuan, maka isu mengurus sumber dan hasil antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri boleh jadi satu isu yang sering menyebabkan pergeseran.

Ada negeri menyatakan ia menyumbangkan hasil kepada Kerajaan Pusat manakala sumbangan Kerajaan Pusat kepadanya rendah dari yang ia sumbangkan.

Sabah misalnya telah melaksanakan cukai jualan sendiri manakala Sarawak ingin mengambil alih Bintulu yang sekian lama dimajukan oleh Petronas.

Adalah tanggungjawab kita bersama agar Persekutuan kita akan bertambah kukuh di masa hadapan dan isu federalisme terus diberi perhatian supaya Malaysia terus kekal sebagai sebuah Persekutuan ratusan tahun di masa hadapan, insya-Allah.
Satu aspek ekonomi politik negara kita yang sentiasa tidak boleh diabaikan atau diremehkan ialah isu perbezaan ekonomi, khususnya ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara wilayah dan antara kaum-kaum utama di negara kita.

Perbezaan ekonomi yang sangat ketara boleh menyebabkan konflik masyarakat. Itulah sebabnya bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilaksanakan pada tahun 1971 disebabkan pergeseran antara kaum di Kuala Lumpur pada bulan Mei tahun 1969.

DEB mempunyai objektif untuk mencapai perpaduan negara berasaskan pencapaian matlamat pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat supaya masyarakat Bumiputera memiliki dan menguasai sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah saham dalam sektor korporat pada tahun 1990.

Perbezaan ekonomi antara wilayah perlu diteliti dan diperbaiki dalam proses pembangunan ekonomi supaya kepersekutuanan negara kita terus segar dan mantap.

Seorang ahli ekonomi Amersika Syarikat (AS) bernama Tiebout pernah merungkai isu perbezaan antara wilayah di AS dan mencadangkan menggunakan sumber kewangan dan material untuk mengurangkan perbezaan ekonomi antara wilayah. Mungkin kaedahnya perlu diteliti penyesuaiannya di Malaysia.

Tun Abdullah Badawi semasa memimpin negara ini telah melaksanakan dasar dan program growth corridors untuk mengurangkan perbezaan ekonomi antara wilayah yang bertambah akibat banyaknya projek besar di rantau Lembah Klang seperti Putrajaya, Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pusat bandar Kuala Lumpur (KLCC) dan projek-projek lebuh raya.

Saya juga ingin menyentuh agar pegawai kerajaan, khususnya di Kementerian Kewangan, meneliti perbelanjaan awam dari segi kesan penggandanya (multiplier effects) atau kesan pertaliannya (linkage effects).

Ada kemungkinan kesannya mungkin ketara dan besar khasnya dalam bidang-bidang seperti projek dalam bidang pertahanan dan keselamatan juga dalam bidang kesihatan dan pendidikan.

Maklumat dari jadual Input-Output yang telah dikumpul begitu lama boleh diteliti apakah kesan-kesan di ekonomi tempatan dan peringkat negeri.

Kesannya mungkin ketara dan penting dan perlu diberitahu kepada peringkat negeri-negeri yang tidak akan berlaku tanpa perbelanjaan demikian.

Ini maklumat penting. Kalau maklumat ini dimaklumkan kepada umum, maka sumbangan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan kepada pembangunan di peringkat negeri akan lebih diiktiraf dan tidak dipandang kecil sahaja.

Mungkin pegawai kerajaan di Kementerian Kewangan atau di Kementerian Ekonomi mungkin hendak memberi pertimbangan kepada perkara ini.

Menyentuh isu pembangunan, kita lihat banyak pemimpin negara gemar untuk melaporkan pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kini ramai telah menyatakan tentang keperluan kita mengkaji aspek melangkaui KDNK pula. Dulu kita selalu menonjolkan isu kemiskinan dan perbezaan ekonomi.

Sekarang isu tata kelola menonjol dan perlu diberikan perhatian sewajarnya untuk mengelakkan pembaziran dan rasuah di negara ini.

Perdana Menteri meletakkan isu ini sebagai perhatian yang sangat penting demi maruah negara dan generasi muda negara.

Isu dan masalah perubahan iklim sedang dan akan menjadi isu politik ekonomi yang utama dalam masa terdekat dan sederhana.

Ia akan menjejaskan kepentingan masyarakat B40 serta juga pencapaian yang sekian lama dicapai dalam usaha membasmi kemiskinan dan meluaskan kemudahan infrastruktur.

Pencemaran alam dan kesan jerebu jelas menunjukkan bahawa soal iklim dan isu alam sekitar tidak boleh diremehkan, malahan dipandang serius lebih daripada usaha yang sedia ada.

Generasi muda mesti didedahkan kepada implikasi perubahan iklim supaya mereka sentiasa sensitif dan peka kepada usaha dan kepentingan ini dalam jangka sederhana dan jangka panjang, apatah lagi.

Mungkin perkara-perkara di atas merupakan hal-hal penting dalam meneliti naratif political economy untuk Malaysia. – UTUSAN

TAN Sri Dr. Sulaiman Mahbob adalah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×