Bursa Malaysia berdepan tekanan susulan sentimen global tidak menentu

Bursa Malaysia berdepan tekanan susulan sentimen global tidak menentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bursa Malaysia menghadapi tekanan jualan apabila sentimen pasaran global yang lemah susulan kejatuhan Wall Street menjejaskan minat pelabur, sekali gus menyaksikan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE (FBM KLCI) merosot ke paras terendah dalam tempoh 15 bulan.

Indeks penanda aras itu susut 9.65 mata pada 1,556.51 mata di akhir dagangan minggu lalu, seiring kelemahan pasaran ekuiti serantau yang turut mencerminkan sentimen berhati-hati pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Colony, Timothy Tiah berkata, kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) berpotensi mendorong pelabur antarabangsa mengalihkan dana daripada pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia, sekali gus memberi tekanan kepada harga saham tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, perkembangan itu menunjukkan harga saham boleh terjejas akibat perubahan sentimen dan aliran dana global walaupun prestasi operasi sesebuah syarikat masih kukuh.

Bagaimanapun, katanya, pelabur perlu membezakan pergerakan harga saham dengan prestasi asas perniagaan kerana perubahan kadar faedah turut memberi kesan langsung kepada keupayaan syarikat menjana aliran tunai.

“Jika kadar faedah AS meningkat, pelabur antarabangsa mungkin mengalihkan wang mereka daripada pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia. Keadaan itu boleh menekan harga saham tempatan walaupun perniagaan berkenaan menunjukkan prestasi yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Tambahnya, syarikat yang mempunyai tahap hutang tinggi juga berpotensi berdepan peningkatan pembayaran faedah apabila kos pinjaman meningkat, sekali gus mengurangkan tunai yang tersedia untuk pemegang saham.

Dalam perkembangan berkaitan, Apex Securities berkata, saham teknologi kekal menjadi perhatian pelabur ketika mereka menilai kejatuhan indeks semikonduktor AS susulan penjualan di Wall Street serta perkembangan prestasi Anthropic selepas penyenaraian awam awalnya.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan sentimen terhadap sektor kecerdasan buatan (AI) berpotensi dipengaruhi perkembangan berkaitan temu bual Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, di Kongres AS yang dijadualkan pada 1 Disember.

Bagaimanapun, saham sektor kewangan dijangka menunjukkan daya tahan relatif, disokong pertumbuhan domestik Malaysia yang kukuh serta inflasi terkawal, manakala saham perbankan bermodal besar berpotensi menjadi penampan kepada penanda aras pasaran.

Apex Securities berkata, sektor penjagaan kesihatan dan saham terpilih yang menawarkan hasil dividen tinggi juga berpotensi menarik minat belian defensif sekiranya sentimen risiko pasaran terus lemah.

Mengulas prospek pasaran bagi minggu hadapan, Berjaya Research menjangkakan volatiliti kekal mewarnai dagangan susulan tekanan jualan yang berterusan di Wall Street.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur turut memberi perhatian kepada data Indeks Sentimen Pengguna Michigan AS yang bakal diumumkan bagi mendapatkan petunjuk baharu mengenai keyakinan pengguna serta implikasinya terhadap sentimen pasaran global.

“Ssentimen pasaran secara keseluruhan dijangka kekal berhati-hati dengan pelabur berkemungkinan lebih selektif dalam membuat keputusan pelaburan, di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung berkala dan ketidaktentuan luaran.

“Bagaimanapun, prestasi kukuh saham Anthropic ketika penampilan sulungnya di pasaran, meskipun pasaran secara keseluruhan mengalami tekanan, menunjukkan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) masih berdaya tahan, namun pelabur semakin selektif dalam memilih syarikat berkaitan sektor itu,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini