Sultan Kelantan di mata rakyat

Sultan Kelantan di mata rakyat

SULTAN Muhammad V di mata rakyat Kelantan bukan hanya tentang mahkota, istana dan istiadat, tetapi raja yang dilihat hadir di tengah-tengah masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Kelantan, hubungan antara raja dan rakyat bukan sekadar terpahat dalam adat istiadat, protokol atau acara rasmi. Ia hidup dalam denyut nadi masyarakat di segenap pelosok negeri ini tanpa mengira lapisan masyarkat mahupun umur.

Hubungan terlihat ‘indah’ apabila seorang sultan sanggup memncemar dulu dengan turun berjalan bersama rakyat, hadir ketika ditimpa musibah dan berada di tengah-tengah lautan manusia yang datang untuk menzahirkan kecintaan kepada institusi diraja.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, dalam banyak kesempatan memperlihatkan sisi pemerintahan yang dekat dengan rakyat. Bukan sekadar dari jauh di atas pentas, sebaliknya turun sendiri menyantuni rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan baginda itu membolehkan seluruh rakyat melihat, menyapa dan merasai kehadiran seorang Sultan di tengah-tengah khalayak.

Gambaran itu jelas pada 14 Februari lalu apabila Sultan Muhammad V bersama Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan mencemar duli menyertai Walkathon D’ Raja-Walk With Me 2026 yang menghimpunkan lebih 10,000 rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV.

Kedua-dua baginda tiba di pekarangan stadium kira-kira pukul 11.18 malam sebelum merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Namun, yang lebih menarik perhatian rakyat bukan sekadar keberangkatan baginda merasmikan program itu. Sultan Muhammad V dan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah kemudian berjalan kaki bersama rakyat sejauh 3.2 kilometer.

Bayangkan suasana itu, seorang Sultan berjalan kaki bersama lebih 10,000 rakyat pada waktu malam. Tiada jarak yang memisahkan antara rakyat dengan Sultan selaku ketua negeri.

Tiada tembok protokol yang terlalu tinggi untuk menghalang kebersamaan itu. Di situlah nilai sebuah simbol yang cukup besar. Apabila Sultan berjalan bersama rakyat, rakyat tidak melihat sekadar seorang Sultan yang hadir dalam sesuatu acara.

Mereka melihat seorang raja yang sudi berkongsi ruang, masa dan pengalaman bersama mereka. Malah, kemeriahan program itu turut diserikan dengan gimik pertunjukan 350 dron yang membentuk 10 formasi, termasuk wayang kulit, gasing, beca, pintu gerbang dan rebana ubi.

Kesemua elemen itu dekat dengan identiti Kelantan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi gambaran sebuah negeri kaya dengan warisan dan tradisi yang masih malar segar dalam kalangan rakyat tanpa mengira peringkat umur.

JIWA RAKYAT
Ukuran erat seorang Sultan dengan rakyat bukan hanya ketika suasana meriah. Lebih penting ialah kehadiran ketika rakyat sedang berduka.

Pada 10 Jun lalu, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli melawat tapak kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini selepas 29 rumah musnah dalam kebakaran.

Ketika sebahagian mangsa mungkin masih terkejut, kehilangan tempat tinggal dan memikirkan hari esok, keberangkatan baginda ke lokasi kejadian membawa satu mesej yang cukup besar bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi musibah.

Baginda bukan sahaja datang melihat kesan kebakaran, malah menyantuni mangsa serta mengurniakan sumbangan kepada mereka yang ditimpa musibah.

Di sinilah letaknya nilai besar seorang Sultan di mata rakyat. Ketika rakyat sedang susah, kehadiran seorang raja mampu menjadi penyuntik semangat dan memberikan kekuatan untuk mereka bangkit semula.

Kasih sayang seorang raja kepada rakyat tidak semestinya perlu diterjemahkan dengan kata-kata yang panjang. Ada kalanya, cukup dengan keberangkatan baginda ke lokasi bencana, bertanya khabar, melihat sendiri keadaan mangsa dan menghulurkan bantuan.

Itulah bahasa yang mudah difahami rakyat. Bahasa kemanusiaan.

RAKYAT, SULTAN BERPISAH TIADA
Dalam konteks Kelantan, kemeriahan sambutan Hari Keputeraan Sultan Muhammad V pada tahun lalu turut memperlihatkan hubungan tersebut dalam suasana yang berbeza.

Ribuan rakyat membanjiri kiri dan kanan laluan untuk menyaksikan perarakan 18 kereta berhias sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-56.

Perarakan sepanjang lebih dua kilometer dari Kompleks Kota Darulnaim hingga Stadium Sultan Muhammad IV itu turut disertai pasukan bergajah, pasukan berkuda, 56 hulubalang, 10 beca berhias, kumpulan motosikal berkuasa tinggi Kelantan serta pelbagai persembahan menarik.

Sekali lagi, rakyat berada di tengah-tengah acara. Mereka bukan sekadar penonton kepada sebuah perarakan, tetapi sebahagian daripada kemeriahan yang mengiringi sambutan Hari Keputeraan Sultan.

Itulah uniknya Kelantan, negeri serambi Mekah. Rakyat negeri ini mempunyai cara tersendiri dalam menzahirkan rasa hormat kepada raja. Ia hadir dalam bentuk lautan manusia di sepanjang jalan, sorakan, senyuman, kehadiran keluarga dan anak-anak yang dibawa bersama untuk menyaksikan acara diraja.

Bagi generasi muda pula, pengalaman melihat baginda secara dekat boleh menjadi satu bentuk pendidikan tentang sejarah, budaya dan institusi negeri yang mereka warisi.

Namun, di sebalik semua kemeriahan itu, satu perkara lebih penting untuk direnungkan. Institusi diraja akan terus dekat dengan rakyat apabila nilai kemanusiaan sentiasa menjadi jambatan.

Sultan yang berjalan bersama rakyat memberikan gambaran kebersamaan. Sultan yang hadir ketika rakyat ditimpa bencana memberikan gambaran keprihatinan. Sultan yang berada dalam acara kebudayaan pula menghubungkan institusi diraja dengan warisan negeri.

Tiga gambaran ini mungkin berlaku dalam suasana yang berbeza, tetapi semuanya bertemu pada satu titik dengan rakyat. Sultan Muhammad V di mata rakyat Kelantan akhirnya bukan hanya tentang mahkota, istana dan istiadat.

Ia juga tentang seorang raja yang dilihat hadir di tengah-tengah masyarakat. Ukuran paling dekat tentang sebuah institusi ialah bagaimana ia dirasakan oleh rakyat.

Di jalan raya, di stadium, di tepi rumah yang terbakar dan di sepanjang laluan perarakan, rakyat Kelantan terus menjadi saksi. Bagi rakyat, seorang Sultan paling mudah dikenang bukan kerana sejauh mana baginda berdiri daripada mereka, tetapi sejauh mana baginda hadir ketika mereka memerlukan dan meraikan kebersamaan bersama mereka.

Raja dan rakyat mungkin berbeza kedudukan, tetapi apabila jarak itu dirapatkan oleh rasa kasih, prihatin dan kebersamaan, di situlah lahirnya makna sebenar sebuah negeri yang mempunyai raja di hati rakyatnya.

Jadi tidak hairanlah bait-bait lagu Daulat Tuanku nyanyian Halim Yazid meniti di bibir setiap rakyat jelata di negeri ini.

“Patik rasa bangga jadi rakyat Tuanku
Duduk mana-mana pun semua orang tahu
Semua pakat kata Tuanku kitalah nombor 1
Kepada rakyat jelata Tuanku suka ambil tahu
“Patik rasa bangga jadi rakyat Tuanku
Seorang raja tempat rakyat tumpang mengadu
Bersikap terbuka menangani semua isu
Rakyat hidup selesa aman damai bersatu padu.”

Semoga Allah SWT melindungi Tuanku dunia dan akhirat. Dirgahayu Tuanku! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×