“PATIK rasa bangga jadi rakyat Tuanku
Duduk mana-mana pun semua orang tahu
Semua pakat kata Tuanku kitalah nombor 1
Kepada rakyat jelata Tuanku suka ambil tahu
“Patik rasa bangga jadi rakyat Tuanku
Seorang raja tempat rakyat tumpang mengadu
Bersikap terbuka menangani semua isu
Rakyat hidup selesa aman damai bersatu padu.”
Itu antara sebahagian bait-bait lagu Daulat Tuanku nyanyian Halim Yazib yang menggambarkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V seorang raja berjiwa rakyat.
Sikap itu dizahirkan oleh baginda sering dilihat bersahaja tanpa terikat dengan protokol setiap kali mencemar duli mendampingi rakyat.
Sering mengenakan pakaian jubah dan berkopiah setiap kali turun bertemu dengan rakyat membuatkan ada dalam kalangan penduduk di negeri ini tidak menyangka lelaki tampan itu sebenarnya Sultan Kelantan.
Pada masa sama, sikap baginda yang turut gemar berbaju Melayu atau ‘baju gumbang’ dan berkain pelikat membuatkan rakyat tidak kekok setiap kali berdepan dengan Sultan Muhammad V.
JIWA RAKYAT
Setiap kali bertutur dengan rakyat jelata, Sultan Muhammad V gemar menggunakan kata ganti diri seperti ‘ambo’ dan ‘kito’ yang merupakan patah kata yang terdapat dalam loghat asli negeri ini.
Penggunaan kata ganti diri itu menyerlahkan lagi jiwa rakyat baginda. Sikap rendah diri itu menjadikan baginda cukup disayangi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini.
Malah, sifat itu membuatkan rakyat menjadi lebih selesa untuk mendekati baginda terutama semasa mencemar duli menyantuni penduduk di negeri ini.
GEMAR MENYEMBELIH LEMBU
Setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra di Panji, Kota Bharu untuk menyembelih lembu korban.
Kemahiran yang dimiliki oleh baginda itu menimbulkan kekaguman dalam kalangan rakyat kerana ia memerlukan kemahiran yang tinggi untuk melaksanakan tugas tersebut.
Hal ini kerana bukan semua orang boleh melakukan tugas tersebut yang memerlukan kemahiran serta fokus tinggi.
Sembelihan itu perlu dilaksanakan mengikut hukum sebagaimana ditetap oleh ajaran Islam bagi memastikan ia sah.
CAKNA RAKYAT SEJAK DILANTIK TENGKU MAHKOTA
Sifat cakna Sultan Muhammad V terhadap rakyat jelata di negeri ini terzahir sejak dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan (TMK) dimana baginda gemar mencemar duli.
Ia bertambah subur apabila baginda dimasyhurkan menjadi Sultan Kelantan pada 13 September 2010 lalu.
Sebagai pemerintah negeri, baginda gemar mencemar duli dengan menjelajah ke seluruh pelosok pedalaman Kelantan.
Sebut sahaja kawasan mana, pastinya baginda sudah lawati termasuklah perkampungan Orang Asli baik di jajahan Gua Musang mahupun Jeli.
Tindakan mencemar duli itu bertujuan melihat dan merasai sendiri denyut nadi kehidupan rakyat jelata di segenap peringkat baik kanak-kanak, dewasa mahupun yang bergelar warga emas.
WALK WITH ME
Program Walk with me antara platform yang mengukuhkan lagi hubungan antara Istana Kelantan dengan rakyat negeri ini.
Menariknya, Sultan Muhammad V sendiri sanggup mencemar duli dengan berjalan bersama-sama rakyat sekitar bandar Kota Bharu.
Penganjuran itu sekali gus memperlihatkan keakraban hubungan tuanku dengan rakyat Jelata.
BERJIWA AGAMA
Sultan Muhammad V dilihat cukup dekat dengan agama. Ia dapat dilihat menerusi program Qiam With Me. Program berbentuk keagamaan itu mula diperkenalkan oleh baginda pada setiap kali tibanya bulan Ramadan sejak 2011.
Program bermula pukul 10 malam selepas solat Isyak dan tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli qiamullail sehingga sahur dan solat subuh berjemaah bersama baginda.
Pada 2012, baginda memahat sejarah tersendiri apabila menganjurkan program itu di Istana Negeri, Kubang Kerian. Menariknya, ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan terbesar seramai 6,000 orang berqiamullail bersama Sultan Muhammad V.
Sultan Muhammad V merupakan adalah anak sulung kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Baginda menerima pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar, sebuah sekolah berasrama yang terkemuka di Perak sebelum melanjutkan pengajiannya di Royal Military Academy Sandhurst di United Kingdom (UK).
Selepas tamat pengajian di UK, Sultan Muhammad V menabur bakti dengan berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau juga merupakan Kolonel Utama Rejimen Artileri Diraja dan Kor Risik DiRaja (Royal Intelligence Corps).
Semoga Allah SWT melindungi Tuanku dunia dan akhirat. Dirgahayu Tuanku! – UTUSAN
PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










