KOTA BHARU: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan merupakan antara 767 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke-57 di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Beliau menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran Datuk, bersama tiga penerima lain termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah
Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan (SPKK) yang membawa gelaran Datuk kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Seri Ab. Rahim Ab. Rahman pula dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan (SPSK) yang membawa gelaran Datuk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah bersama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail dan Bendahari Dewan Muslimat Pas Kelantan, Wan Ubaidah Omar pula menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan (DJMK) yang juga membawa gelaran Datuk, bersama 10 penerima lain.
Seramai enam pegawai tinggi tentera dikurniakan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan (DPKK) manakala 16 individu dalam kalangan pegawai kerajaan negeri, Persekutuan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta sektor perubatan awam serta swasta, menerima kurniaan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan (DPSK) dengan semuanya membawa gelaran Datuk.
Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Datuk Mohd. Hairuddin Che Hamid pula menjadi penerima terakhir anugerah yang membawa gelaran Datuk apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan (DPJK).
Pengerusi Apex Equity Berhad yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Seri Farhash Wafa Salvador turut dikurnia anugerah tertinggi, iaitu Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).
Seramai enam individu menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan (PMK) manakala 12 individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan (JMK) termasuk ADUN Gual Ipoh Bahari Mohamad Nor, ADUN Guchil Hilmi Abdullah, ADUN Gual Periok Kamaruzaman Mohamad, ADUN Chempaka Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah dan ADUN Melor Wan Rohimi Wan Daud.
Sultan Muhammad V juga berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 280 lagi penerima, selain bintang-bintang kepada 198 penerima dan pingat-pingat kepada 226 penerima.
Istiadat berkenaan turut menyaksikan pelantikan 12 orang Jaksa Pendamai, kemudian diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Duli serta Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia yang diketuai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, sebelum keberangkatan pulang Sultan Kelantan bersama Keluarga Diraja Kelantan. – UTUSAN










