Isu jerebu: Malaysia tidak boleh lagi berdiam diri

Isu jerebu: Malaysia tidak boleh lagi berdiam diri

JEREBU menuntut tindakan bersepadu yang melangkaui sempadan politik, dengan sains dan teknologi sebagai teras penyelesaian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABATAN Meteorologi Malaysia menjangkakan rakyat Malaysia akan terus berdepan dengan isu jerebu sehingga penghujung September 2026.

Fenomena ini bukan sekadar gangguan kesihatan sementara, tetapi krisis ekologi yang menjejaskan banyak sistem semula jadi seperti habitat hidupan liar, aktiviti pendebungaan, penghijrahan burung, malah imej negara di mata dunia.

Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering menjadikan asap jerebu terperangkap di atmosfera, sementara hujan hanya akan kembali apabila fasa peralihan monsun bermula.

Keadaan ini menuntut perhatian serius kerana jerebu bukan lagi sekadar masalah alam sekitar, tetapi ujian kepimpinan ekologi Malaysia di peringkat serantau.

Mengapa jerebu masih berulang saban tahun? Jawapannya terletak pada gabungan faktor rentas sempadan dan aktiviti tempatan.

Kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera serta Kalimantan menghasilkan asap tebal yang dibawa angin Monsun Barat Daya ke Malaysia.

Tanah gambut yang kaya karbon menjadikan api sukar dipadamkan kerana ia terus menyala di bawah permukaan.

Di dalam negara, pembakaran terbuka haram oleh pihak tidak bertanggungjawab menambah beban pencemaran, manakala pelepasan industri dan kenderaan meningkatkan kepekatan zarah halus (PM2.5) di bandar.

Cuaca ekstrem panas berpanjangan pula menjadikan kawasan mudah terbakar, mempercepatkan lagi krisis ini.
Data Jabatan Alam Sekitar pada 29-30 Ogos 2026 menunjukkan sebanyak 1,211 titik panas telah dikesan di rantau selatan ASEAN. Angka ini mencerminkan situasi kritikal jerebu rentas sempadan yang sedang melanda negara.

Langkah kawalan domestik seperti larangan pembakaran terbuka, operasi pembenihan awan, dan sistem amaran awal titik panas memang penting, tetapi jelas tidak mencukupi.

Jerebu adalah masalah rentas sempadan yang menuntut kerjasama politik, saintifik, dan teknikal antara Malaysia dan Indonesia.

Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan mesti diaktifkan dengan komitmen lebih tegas, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjadi punca kebakaran.

Malaysia dan Indonesia perlu memperkukuh operasi bersama di sempadan, termasuk pembenihan awan di ruang udara Indonesia. Pada masa yang sama, perlindungan orang awam mesti diberi keutamaan.

Pendekatan politik sahaja tidak mencukupi. Data sains dan teknologi mesti menjadi asas penyelesaian. Perkongsian data satelit untuk mengesan titik panas dan meramal arah tiupan angin secara masa nyata adalah kritikal.

Teknologi pemadaman tanah gambut seperti teknik pembasahan semula dan operasi pemadaman api dari udara yang strategik perlu dikongsi bersama.

Penyelidikan standard kualiti udara ASEAN juga penting bagi memastikan data konsisten dan telus, selain kajian kesan jangka panjang jerebu terhadap kesihatan penduduk dan sistem ekologi rantau ini.

Teknologi satelit kini menjadi “mata di angkasa” yang mampu mengesan kebakaran melalui penderiaan inframerah dan kecerdasan buatan (AI).

Malaysia melalui Agensi Angkasa boleh memanfaatkan data ini untuk pemetaan kerosakan hutan dan tindakan pantas. Dengan integrasi teknologi moden, kita mampu bertindak lebih awal sebelum kebakaran merebak menjadi bencana besar.

Jerebu bukan hanya menjejaskan manusia. Burung hijrah yang menggunakan Laluan Terbang Asia Timur-Australasia (EAAF) terganggu navigasi akibat jarak penglihatan rendah, mengalami kerosakan paru-paru akibat zarah halus dan kehilangan tenaga sehingga mati sebelum tiba ke destinasi.

Habitat pantai berlumpur pula tercemar dengan mendapan toksik, meracuni rantai makanan bentik. Mikroorganisma lumpur mati akibat kekurangan cahaya matahari, mengurangkan sumber makanan burung hijrah.

Hutan bakau yang menjadi penapis semula jadi dan penghalang hakisan pantai turut rosak apabila fotosintesis terhalang oleh asap jerebu berpanjangan.

Kesannya, ekosistem pantai yang kritikal bagi kelangsungan burung hijrah semakin terancam.

Zarah jerebu bukan sekadar debu atau abu kayu kosong, ia adalah campuran kompleks bahan kimia berbahaya yang terhasil daripada pembakaran tidak sempurna hutan, tanah gambut dan sisa pertanian, yang kemudiannya bercampur dengan pencemaran bandar.

Pemendapan ke atas permukaan lumpur misalnya, boleh memberikan kesan kepada organisma bentik seperti cacing, ketam kecil, dan kerang yang menjadi sumber makanan utama burung hijrah.

Jerebu juga menjejaskan fotosintesis mikroalga yang menjadi dasar rantaian makanan. Gabungan impak toksik yang menyebabkan pengurangan populasi invertebrata, menyebabkan burung hijrah gagal mendapatkan nutrisi yang cukup untuk meneruskan migrasi.

Malaysia sebagai rakan kongsi Laluan Terbang Asia Timur-Australasia (EAAF) perlu menggerakkan isu jerebu rentas sempadan ini kerana ia penting dalam pemuliharaan burung hijrah yang melibatkan 22 negara di sepanjang laluan tersebut.

Jika Malaysia gagal memainkan peranan aktif, bukan sahaja ekosistem tempatan yang terjejas, tetapi reputasi negara sebagai pusat kepelbagaian biologi serantau juga akan tercalar.

Jerebu adalah ujian kepimpinan ekologi Malaysia. Ia menuntut tindakan bersepadu yang melangkaui sempadan politik, dengan sains dan teknologi sebagai teras penyelesaian.

Jika kita gagal bertindak, bukan sahaja rakyat Malaysia yang menderita, tetapi seluruh rantau Asia Tenggara akan menanggung akibatnya.

Burung hijrah yang terbang ribuan kilometer sebagai petunjuk membawa mesej jelas: Ekosistem kita sedang tenat.

Kini masanya Malaysia tampil sebagai peneraju dalam kerjasama saintifik ASEAN dan membuktikan bahawa kita serius dalam mempertahankan udara bersih, kesihatan rakyat dan kelestarian alam.

Malaysia tidak boleh lagi berdiam diri. Jerebu adalah ujian kepimpinan ekologi negara. – UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×